SYDNEY : Seorang ibu menjadi individu pertama dipenjarakan di bawah undang-undang perkahwinan paksa di Australia, selepas mengarahkan anak perempuannya untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang kemudiannya membunuh wanita berusia 21 tahun itu.
Sakina Muhammad Jan yang berusia akhir 40-an, didapati bersalah memaksa Ruqia Haidari berkahwin dengan Mohammad Ali Halimi, 26, pada tahun 2019, sebagai balasan untuk bayaran kecil.
Enam minggu kemudian, Mohammad membunuh Ruqia, membawa kepada hukuman penjara seumur hidup.
Dalam keputusan yang diumumkan di Mahkamah Melbourne semalam, hakim Fran Dalziel menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadap Sakina, namun dia akan dibebaskan selepas 12 bulan dipenjara sebelum dibebaskan di bawah beberapa syarat termasuk berkelakuan baik.
Dalziel seperti dilaporkan BBC berkata, Sakina yang juga penduduk tetap Australia boleh dihantar pulang ke Afghanistan kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ibu yang sepatutnya melindungi anak perempuannya.
Perbicaraan selama dua minggu mendedahkan, Ruqia dipaksa berkahwin sedangkan gadis itu mahu belajar dan berkerja.
Dalziel menyatakan, Sakina berulang kali mengabaikan kehendak Ruqia dan menyalahgunakan kuasanya sebagai seorang ibu.
Undang-undang melarang perkahwinan paksa yang diperkenalkan di Australia pada 2013, boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun. – AGENSI