BEIJING: Harga rumah baharu di China menyaksikan kejatuhan mendadak pada Jun lalu, dalam tempoh sembilan tahun dan jualan hartanah serta pelaburan juga merosot.
Perkembangan itu sekaligus meningkatkan tekanan terhadap penggubal dasar untuk merangsang dan menyokong sektor ekonomi yang terjejas.
Menurut pengiraan Reuters berdasarkan data daripada Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS), harga rumah baharu merosot 4.5 peratus daripada tahun sebelumnya, mencecah paras terendah sejak Jun 2015.
Nilai kejatuhan itu lebih teruk pada Mei iaitu sebanyak 3.9 peratus.
Sejak 2021, kemelesetan mendadak pasaran hartanah menyebabkan beberapa siri pemaju ingkar dan banyak tapak pembinaan terbiar.
Situasi itu menghakis keyakinan dalam sektor pembinaan yang secara tradisinya digemari oleh isi rumah Cina sebagai aset paling selamat untuk simpanan mereka.
Sektor hartanah yang menyumbang satu perempat daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), kekal sebagai penghalang utama kepada ekonomi AS$18 trillion (RM84 trilion).
KURANGKAN HARGA
Pihak berkuasa melancarkan pelbagai langkah sokongan termasuk mengurangkan kos pembelian rumah di bandar utama dan membenarkan kerajaan tempatan membeli beberapa pangsapuri yang tidak terjual dan menjadikannya rumah mampu milik.
Ahli EKonomi di Moody’s Analytics, Harry Murphy Cruise dalam nota penyelidikan berkata, sokongan baru-baru ini adalah satu langkah tepat walaupun jika dibandingkan dengan skala masalah tersebut.
“Apabila sektor (perumahan) itu sakit, kesakitan dapat dirasakan di seluruh sektor ekonomi,” katanya.
EKONOMI PERLAHAN
Beijing mencatatkan pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan untuk suku kedua tahun ini, dengan permintaan domestik yang rendah dan kemerosotan berterusan dalam sektor hartanah membebankan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu.
KDNK meningkat 4.7 peratus dari tahun ke tahun, angka pertumbuhan suku tahunan terendah sejak permulaan 2023 iaitu kurang daripada unjuran 5.1 peratus, kata pakar ekonomi.
Pertumbuhan keseluruhan bagi separuh pertama tahun itu berada pada lima peratus, sejajar dengan sasaran KDNK negara untuk 2024.
Data yang dikeluarkan oleh Biro Perangkaan Kebangsaan itu dilaporkan ketika pemimpin Parti Komunis bersidang di Beijing minggu ini.
Ia pertemuan yang menumpukan pada pembaharuan, dua kali dalam satu dekad yang akan dipantau rapat untuk melihat bagaimana China berhasrat menangani cabaran utama, termasuk di sektor ekonomi.
Ketua Ekonomi di Bank Hang Seng di Shanghai, Dr Dan Wang berkata, pertumbuhan pada suku kedua adalah perlahan, kebanyakannya disebabkan oleh data perumahaan dan penggunaan yang mengecewakan.
Jualan runcit, ukuran permintaan pengguna, meningkat pada Jun dengan kadar paling perlahan sejak pembukaan semula pasca pandemik China.
Kadar pertumbuhan dua peratus tahun ke tahun direkodkan meleset daripada jangkaan pakar ekonomi, dan turun daripada 3.7 peratus yang dicatatkan pada Mei.
Satu faktor menyumbang kepada penggunaan yang lemah ialah keyakinan orang ramai terhadap pendapatan masa depan mereka, terutama di tengah-tengah laporan pemotongan gaji di pelbagai industri, kata Ketua Penyelidikan Greater China di Bank OCBC di Singapura, Tommy Xie.
Ia walaupun kadar pengangguran bandar yang sebahagian besarnya kekal stabil, pada lima peratus setakat Jun.
Selain itu, sektor hartanah – pemacu ekonomi utama dan sumber kekayaan isi rumah – terus mencatatkan penurunan secara keseluruhan.
Harga rumah baharu jatuh pada Jun, pada kadar terpantas sejak 2015, atau 4.5 peratus tahun ke tahun mengikut pengiraan Reuters.
Bahkan, pelaburan hartanah pada separuh pertama 2024 juga, jatuh 10.1 peratus tahun ke tahun.
17 Mei lalu, China melaksanakan langkah-langkah paling signifikan hingga kini untuk menyokong sektor hartanah yang sedang bergelut.- THE STRAITS TIMES