Isu RUU Mufti Wilayah membawa kepada penjelasan sebenar definisi Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Kebanyakan mufti di Malaysia bersetuju Ahlus Sunnah adalah Asya’irah dan Maturidiyyah.
Bagaimanapun berlaku juga penolakan terhadap definisi atas alasan Ahlus Sunnah turut merangkumi mazhab Salaf.
Mari mengenali hakikat mazhab Salaf terhadap ayat dan hadis Mutasyabihat.
Isu Ayat Mutasyabihat
Salah satu sifat wajib bagi Allah SWT adalah Mukholafatuhu Lil Hawadith yang bermaksud Allah berbeza sama sekali dengan segala makhluk.
Maksud sifat ini adalah Allah tidak menyamai makhluk-Nya dari sudut zat, sifat dan perbuatan-Nya.
Walau bagaimanapun timbul permasalahan dalam memahami sifat wajib Allah apabila ada ayat al-Quran dan hadis yang seolah-olah menunjukkan bahawa Allah mempunyai persamaan dengan makhluk-Nya. Seolah-olah Allah ada wajah, bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi, duduk di atas arasy.
Menurut Prof. Dr. Muhammad Robi’ Muhammad al-Jawhariyy, pensyarah terkenal dalam bidang Akidah di Universiti al-Azhar al-Syarif menerusi karya beliau berjudul ‘Aqidatuna, ayat-ayat ini menimbulkan perbezaan pendirian dalam memahaminya kepada dua pandangan iaitu pandangan ulama Salaf (generasi awal) yang rata-rata mereka tidak mahu mentakwil ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut dan pandangan ulama Khalaf (generasi terkemudian) yang kebanyakan mereka mentakwil dan menjelaskan makna sebenar teks tersebut.
Sekalipun perbezaan pandangan, mereka sepakat kita wajib beriman bahawa ayat-ayat tersebut adalah ayat-ayat al-Quran dan hadis itu memang sabdaan Rasulullah SAW.
Mereka juga tanpa berkecuali bersependapat bahawa kita wajib beriktikad bahawa Allah sama sekali tidak seperti mahluk-Nya dan makna terzahir daripada ayat dan hadis tersebut yang seolah-olah menunjukkan persamaan antara Allah dengan makhluk-Nya adalah mustahil.
Memahami Teks Ulama
Prof. Dr. Muhammad Robi’ Muhammad al-Jawhariyy membawa satu isu iaitu perbezaan pandangan antara pengikut al-Imam al-Ash’ariyy dengan pengikut Syeikh Ibnu Taimiyah dalam memahami hakikat mazhab Salaf.
Menurut beliau, para pengikut al-Imam Abu al-Hasan al-Ash’ariyy berpendapat golongan Salaf menyerahkan makna lafaz di dalam ayat al-Quran dan hadis tersebut kepada Allah SWT dalam keadaan mereka sama sekali tidak mahu menafsirkannya berdasarkan makna secara bahasa yang diketahui oleh kita. Ini kerana makna lafaz-lafaz tersebut secara bahasa akan membawa kepada menyamakan Allah dengan makhluk.
Oleh kerana makna secara bahasa adalah tidak layak kepada Allah, maka ayat dan hadis tersebut adalah samar maknanya (mutasyabihat).
Lalu para ulama Salaf hanya membaca lafaz tersebut tanpa menghuraikannya sama sekali kerana hanya Allah sahaja mengetahui maknanya.
Adapun para pengikut Syeikh Ibnu Taimiyah, Prof. Dr. Muhammad Robi’ Muhammad al-Jawhariyy menjelaskan, mereka pula berpendapat ulama Salaf sebenarnya menafsirkan ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut berdasarkan makna lafaz secara bahasa kerana ayat-ayat tersebut bukanlah ayat yang samar-samar (mutasyabihat) sebaliknya adalah ayat yang jelas lagi nyata (muhkamat).
Bagi pengikut Syeikh Ibnu Taimiyah, golongan Salaf tidak menyerahkan makna lafaz tersebut kepada Allah sebaliknya hanya menyerahkan persoalan: “Bagaimanakah erti lafaz tersebut”? kepada Allah SWT.
Maka Syeikh Ibnu Taimiyah memunculkan kefahaman baru terhadap hakikat akidah ulamak Salaf yang kefahaman beliau ini berbeza sama sekali dengan hakikat mazhab Salaf berdasarkan kefahaman kebanyakan ulamak lain yang hidup pada kurun-kurun yang lebih awal dari kurun Syeikh Ibnu Taimiyah.
Penjelasan Perbezaan
Menerusi kenyataan Prof. Dr. Muhammad Robi’ Muhammad al-Jawhariyy di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa perbezaan pemahaman antara pengikut al-Imam al-Ash’ariyy dengan pengikut Syeikh Ibnu Taimiyah terhadap mazhab majoriti ulama Salaf adalah pada persoalan: “Adakah makna secara bahasa diinginkan Allah atau tidak”?
Pengikut al-Imam al-Ash’ariyy yang turut juga dikenali dengan Asya’irah berpandangan bahawa golongan Salaf mengingkari penisbahan makna secara bahasa yang akan menyamakan Allah dengan makhluk.
Lalu setelah itu golongan Salaf beriktikad bahawa makna sebenar diinginkan Allah dan Rasul-Nya hanyalah diketahui oleh Allah SWT. Sebagai contoh ayat ke-73 daripada Surah ali Imran: Katakanlah: Sesungguhnya lebihan kurnia adalah di tangan Allah.
Dia akan memberikannya kepada sesiapa dikehendaki-Nya. Allah adalah Maha Luas lagi Maha Mengetahui, difahami oleh golongan Salaf bahawa tangan dari sudut bahasa bermaksud anggota tubuh.
Namun ia mustahil disandarkan kerana ia akan membawa kepada Allah mempunyai anggota tubuh seperti seperti makhluk-Nya.
Lalu setelah kita beriman bahawa ayat tersebut memang firman Allah, kita wajib meyakini bahawa tangan yang diinginkan oleh Allah bukanlah makna secara bahasa sebaliknya satu makna yang lain yang kita tidak mengetahuinya.
Kita menyerahkan makna ayat tersebut kepada Allah Yang Maha Mengetahui.
Syeikh Ibnu Taimiyah pula berpendirian, ulama Salaf sebenarnya mengakui bahawa makna secara bahasa bagi tangan adalah makna dikehendaki oleh Allah di dalam ayat tersebut.
Namun janganlah ditanya bagaimanakah rupa tangan Allah kerana hanya Allah sajalah yang Maha Mengetahui akan zat-Nya dan dalam masa yang sama Allah adalah berbeza dengan makhluk-makhluk-Nya.
Tolak Kefahaman
Kefahaman Syeikh Ibnu Taimiyah terhadap pendirian golongan Salaf dikritik ulama kerana kefahaman ini akan membawa kepada percanggahan dari sudut akal.
Memaknakan Allah dengan makna secara bahasa, mengakibatkan kefahaman bahawa Allah mempunyai ciri makhluk sedangkan dalam masa sama Syeikh Ibnu Taimiyah menyatakan golongan Salaf menafikan persamaan antara Allah dengan makhluk.
Atas dasar percanggahan inilah ulama seumpama al-Imam Ibrahim al-Bayjuriyy dan al-Imam al-Sowiyy dengan berani menyatakan bahawa Ahlus Sunnah seluruhnya tanpa berkecuali bermula pada zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke hari ini telah bersependapat dalam mengingkari makna secara bahasa pada ayat-ayat dan hadis-hadis Mutasyabihat.
Tindakan Ahlus Sunnah seluruhnya yang telah mengingkari makna secara bahasa ini sebenarnya adalah hakikat takwil, bererti memindahkan sesuatu lafaz dari maknanya yang zahir.
Namun setelah semua Ahlus Sunnah berpegang dengan takwil ringkas ini (Takwil Ijmali), ulama Khalaf mengambil sikap mengkaji lebih mendalam terhadap kemungkinan makna yang diinginkan oleh Allah (Takwil Tafsili) manakala para Salaf pula tidak mahu mengkajinya kerana mereka takut tersilap dalam memahami makna yang diinginkan oleh Allah.
Maka atas dasar seluruh ulama Ahlus Sunnah tidak kira Salaf atau Khalaf menolak makna secara bahasa pada teks Mutasyabihat, tidak salahlah untuk RUU Mufti Wilayah menafsirkan Ahlus Sunnah kepada Asya’irah dan Maturidiah sahaja kerana mazhab Salaf sebenarnya telah termasuk di dalam definisi Ahlus Sunnah.
Ini kerana Asya’irah dan Maturidiah adalah nama lain bagi Ahlus Sunnah yang seluruh mereka tanpa berkecuali, menafikan makna secara bahasa pada teks Mutasyabihat sekalipun mereka berbeza pendirian terhadap Takwil Tafsili.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.