MANILA: Filipina mengusulkan 256.1 bilion peso (RM20.3 bilion) bagi perbelanjaan pertahanan pada 2025, lapor Setiausaha Belanjawan, Amenah Pangandaman.
Menurut beliau, seperti laporan Channel News Asia, jumlah itu meningkat 6.4% berbanding belanjawan tahun ini, ketika Filipina berusaha memodenkan dan meningkatkan pertahanannya di luar negara.
Amenah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 204.4 bilion peso (Rm16 bilion) akan diperuntukkan untuk pasukan darat dan udara serta program pertahanan pasukan tentera laut.
Tambahnya, sejumlah 50 bilion peso (RM3.9 bilion) pula akan membiayai rancangan pemodenan pasukan tentera darat, sekali gus mencerminkan peralihan strategi daripada pertahanan dalam negeri kepada luar negara.
Amenah memberitahu, Pasukan Pengawal Pantai Filipina yang berperanan melakukan rondaan serta misi pembekalan barang-barang di Laut China Selatan akan menerima peningkatan enam peratus bajet kepada 31.4 bilion peso (Rm2.5 bilion).
“Belanjawan ini bertujuan menjaga kedaulatan negara dan memperkukuh tuntutan di beberapa wilayah,” katanya kepada ahli-ahli Kongres.
Usul tersebut dikemukakan ke Kongres semalam.
Pertambahan bajet itu dibuat susulan situasi yang meruncing dengan Beijing berhubung pertikaian kawasan di Laut China Selatan, yang turut dituntut China. – AGENSI