PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia memberi kerjasama kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung isu hangat yang melanda Kuala Lumpur (KL) City FC.
Difahamkan AFC telah membuka kertas siasatan terhadap kelab Liga Super itu berhubung kes tunggakan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) berjumlah hampir RM720,000 yang tidak dibayar sejak Februari 2023.
Ekoran daripada itu, badan induk bola sepak Asia tersebut turut mahu mengadakan perbincangan bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan FAM.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya terbuka dan sentiasa bersedia untuk mengadakan pertemuan bersama AFC mengenai hal tersebut.
“Kami sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada AFC dan malah terbuka untuk AFC melakukan siasatan.
“Kami amat berharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik dan kalau ada kelemahan atau kecacatan terhadap dokumentasi diharapkan AFC dapat memberi nasihat sewajarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Isu pelesenan kebangsaan KL City FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025 timbul selepas kelab itu mempunyai tunggakan gaji serta KWSP pemainnya.
Bagaimanapun, MFL menerusi First Instance Body (FIB) menjelaskan kelab itu telah mengemukakan dokumen mengikut aturan ketika membuat permohonan untuk mendapatkan lesen kebangsaan seterusnya dibenarkan menyertai Liga Super musim ini.
Jika berlaku pelanggaran lesen kelab, ia akan memberi masalah besar kepada pasukan Malaysia yang akan bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL).
“Saya berharap perkara ini tidak menjejaskan penglibatan kelab negara ini dalam pertandingan di peringkat AFC,” ujarnya.-UTUSAN