Enam maut, lelaki bersenjata serang rumah jagaan warga emas

Enam maut, lelaki bersenjata serang rumah jagaan warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELGRADE: Sekurang-kurangnya enam maut selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah rumah jagaan di Croatia, semalam.

Insiden di rumah jagaan warga emas swasta di Daruvar, kira-kira 120 kilometer dari Zagreb, menyebabkan lima orang termasuk seorang pekerja terbunuh, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Polis berkata, beberapa individu turut cedera dan empat lagi dilaporkan kritikal.

Menurut media Croatia, suspek yang didapati membawa senjata api tidak berdaftar sempat melarikan diri dari tempat kejadian sebelum ditangkap di sebuah kafe.

Presiden Croatia, Zoran Milanovic berkata, beliau terkejut dengan kejadian pembunuhan beramai-ramai yang kejam itu dan menggesa supaya pemilikan senjata api diperketatkan.

“Ia adalah amaran menakutkan dan gesaan terakhir kepada semua institusi berkuasa untuk melakukan banyak usaha bagi menghalang keganasan dalam masyarakat,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Sementara itu, Perdana Menteri, Andrej Plenkovic menyifatkan kejadian itu sebagai serangan yang mengerikan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.

Setakat ini, pihak berkuasa Croatia belum memberikan sebarang motif terhadap kejadian pembunuhan beramai-ramai itu.

Menteri Buruh, Pencen, Keluarga dan Dasar Sosial Croatia berkata, ibu kepada suspek menjadi penghuni rumah penjagaan tersebut selama 10 tahun.

Laporan yang belum disahkan oleh media tempatan mendakwa lelaki terbabit adalah seorang veteran perang.

Suspek juga mempunyai rekod lampau kerana mengganggu ketenteraman awam dan keganasan rumah tangga, menurut Ketua Polis Negara Croatia, Nikola Milina.

Kejadian tembakan beramai-ramai di Croatia adalah insiden yang sangat jarang berlaku.

Insiden semalam adalah antara yang terburuk dalam sejarah negara itu sejak kemerdekaan diisytiharkan pada tahun 1991.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN