Empat warga asing ditahan larikan wang tunai RM360,966 ketika urusan pembelian emas - Utusan Malaysia

Empat warga asing ditahan larikan wang tunai RM360,966 ketika urusan pembelian emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan empat warga asing kerana disyaki melarikan wang tunai bernilai RM360,966 ketika urusan pembelian emas di Jalan Sultan Sulaiman 1, Ampang dekat sini pada  24 Jun lalu.

Dalam kejadian pukul 4.20 petang itu, mangsa berusia 45 tahun memaklumkan dijemput seorang lelaki di pejabatnya untuk urusan pembelian emas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki yang bekerja sebagai jurutera itu telah menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios
dan duduk di sebelah suspek ketika kejadian.

Kata beliau, mangsa dibawa ke lokasi berkenaan sebelum memaklumkan akan membuat transaksi di kawasan pejabat suspek.

“Selepas itu, suspek turun dari kereta untuk melihat bukti wang tunai sebanyak RM360,966 sebelum dia mengatakan mahu mengira wang dalam kenderaan itu.

“Suspek meminta mangsa untuk berada di tempat duduk belakang bagi menyelia proses kiraan wang yang akan dibuat sebelum wang tunai itu diletakkan di ruangan kaki tempat duduk hadapan sebelum bergerak ke tempat duduk belakang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Hussein berkata, suspek secara tiba-tiba menarik beg dan melulu keluar dari kereta melarikan wang tunai dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda City.

Kata beliau, mangsa yang berada di dalam kenderaan cuba untuk membuka pintu tetapi terkunci.

“Mangsa kemudian telah bertindak keluar melalui tingkap kereta namun gagal untuk mengejar suspek. Susulan itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM360,966,” jelasnya.

Tambah Hussien, bertindak daripada laporan dibuat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah Ampang Jaya telah menahan empat warganegara asing terdiri tiga lelaki dan seorang wanita pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Menurut beliau, kesemua suspek berusia 24 hingga 37 tahun ditahan di Persiaran TRX dan Jalan Razak Mansion, Kuala Lumpur.

“Antara barangan dirampas semasa tangkapan antaranya wang tunai RM28,300, kereta (dua), telefon bimbit (enam), komputer tiba (satu), pakaian, kasut, beg (tiga), kunci rumah (dua) dan kad bank (enam),” ujarnya.

Jelas beliau, modus operandi suspek adah dengan menjanjikan emas kepada mangsa dan melarikan wang sewaktu transaksi dilakukan.

“Suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut yang mana dua daripada mereka akan tamat 12 Julai ini manakala selebihnya tamat 16 Julai ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya