LONDON : Dua kanak-kanak maut dan sembilan lagi cedera dengan enam daripadanya kritikal, selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau menyerang mereka di sebuah sekolah tarian di Hart Street, Southport, semalam.
Menurut Ketua Polis Merseyside, Serena Kennedy, turut cedera parah dalam insiden tersebut adalah dua orang dewasa yang cuba melindungi kanak-kanak berkenaan dalam satu acara bertemakan Taylor Swift.
Susulan kejadian itu, suspek, 17, yang berasal dari Banks, Lancashire, ditahan atas dakwaan membunuh dan cubaan membunuh.
Kennedy berkata, motif serangan tersebut masih tidak jelas tetapi ia tidak dianggap sebagai serangan keganasan.
“Pihak polis menerima panggilan pada pukul 11.47 pagi waktu tempatan. Setibanya di lokasi kejadian, mereka terkejut melihat mangsa yang parah,” katanya.
Susulan insiden terbabit, katanya, pasukan keselamatan, pasukan bomba dan sebanyak 13 ambulans dikerah ke lokasi kejadian.
Tambah Kennedy, insiden dipercayai dilakukan suspek seorang diri dan soal siasat akan dijalankan bagi menentukan motif kejadian.
Insiden itu turut mendapat perhatian Raja Britain, Raja Charles III dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer yang mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga. – AGENSI