JAKARTA: Polis Indonesia sedang menyiasat tuduhan kumpulan wartawan mengenai insiden di sebalik kebakaran yang mengorbankan seorang wartawan dan tiga ahli keluarganya, kata seorang pegawai, hari ini.
Insiden yang jarang berlaku itu menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan media di negara itu.
Persatuan wartawan bebas (AJI) Indonesia mengutuk tindakan rumah seorang wartawan di Sumatera Utara, Rico Sempurna Pasaribu, dibakar 27 Jun lalu, selepas mangsa melaporkan aktiviti perjudian haram yang melibatkan pegawai tempatan.
Akhbar Kompas melaporkan wartawan itu meninggal dunia bersama isterinya, salah seorang anaknya dan seorang cucu.
Pegawai polis daerah, Oloan Siahaan memberitahu Reuters polis sedang menyiasat punca kebakaran itu, sambil menambah masih tidak jelas sama ada kebakaran itu telah dibuat secara sengaja atau sebaliknya.
Kes itu mendapat kecaman daripada kumpulan wartawan. Menerusi kenyataan pada Selasa, AJI menyifatkan ia sebagai ‘pelanggaran berat terhadap kebebasan akhbar di Indonesia’ yang menjadikan ia sebagai kejadian berbahaya.
Negara Asia Tenggara itu berada di kedudukan ke-111 dalam kalangan 180 negara dalam indeks kebebasan akhbar Reporters Without Borders (RSF) 2024, yang menyatakan wartawan yang menyiasat rasuah di Indonesia sering mengalami intimidasi dan keganasan oleh pihak berkuasa.