China perkukuh ekonomi meski dihimpit ketegangan geopolitik

China perkukuh ekonomi meski dihimpit ketegangan geopolitik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Pemimpin tertinggi China berjanji untuk mengukuhkan ekonomi negara yang semakin perlahan, dengan meningkatkan permintaan domestik dan membangunkan industri berteknologi tinggi.

Kepemimpinan negara itu juga menekankan keperluan untuk mengurangkan risiko dalam sektor utama, seperti kemerosotan hartanah negara, bebanan hutang kerajaan tempatan dan institusi kewangan yang goyah, menurut satu buletin dasar utama selepas mesyuarat peringkat tinggi.

Laporan lebih terperinci mengenai keutamaan yang disenaraikan dalam buletin itu dijangka dikeluarkan beberapa hari selepas penutupan sesi pleno ketiga Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) atau Plenum Ketiga, kelmarin.

Perancangan itu dirangka oleh China ketika ekonomi kedua terbesar dunia tersebut berdepan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.

Plenum Ketiga biasanya memfokuskan kepada isu ekonomi, lapor The Straits Times.

Presiden China yang juga Setiausaha Agung CPC, Xi Jinping mempengerusikan mesyuarat tertutup selama empat hari di Beijing, yang melibatkan kira-kira 360 pegawai parti.

“Untuk memajukan pembaharuan secara berterusan, kami akan menumpukan pada usaha membina ekonomi pasaran sosialis berstandard tinggi,” kata komunike itu, sambil memaklumkan ‘tugas pembaharuan’ yang disenaraikan di dalamnya akan selesai pada masa Republik Rakyat China menyambul ulang tahun ke-80 pada 2029.

‘Komunike’ merujuk kenyataan rasmi atau pengumuman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa atau organisasi untuk menyampaikan maklumat penting kepada umum atau media. 

Ia biasanya digunakan untuk mengumumkan keputusan, dasar, atau perkembangan penting yang memerlukan perhatian atau tindakan.

Ia juga menggariskan hasrat China untuk meningkatkan usaha memimpin tadbir urus global dan secara proaktif membentuk persekitaran luaran yang menggalakkan.

POPULARITI EV

Secara keseluruhannya, keutamaan yang dinyatakan dalam dokumen itu bertujuan untuk menangani cabaran berat dihadapi China dalam usaha membangunkan ekonomi dan menonjolkan pengaruhnya ke luar negara.

Eksport negara, khususnya kenderaan elektrik (EV), berada di bawah pengawasan ketat oleh kerajaan asing yang bimbang China membawa produknya ke luar negara untuk mengurangkan kapasiti berlebihan dan merendahkan harga pengeluar tempatan mereka.

China mengatasi Jepun pada 2023 untuk menjadi pengeksport kereta terbesar di dunia, berikutan populariti EVnya di luar negara.

Tetapi negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kanada serta Kesatuan Eropah (EU), menimbulkan isu terhadap subsidi yang disediakan oleh Beijing untuk membangunkan industri hijaunya, mendakwa geran tersebut mengganggu persaingan yang adil.

China kini menjadi gergasi eksport kenderaan elektrik bateri (BEV), dengan Eropah sebagai destinasi utama untuk eskportnya.

Eksport keseluruhan BEV China meningkat 70 peratus pada 2023, mencecah AS$34.1 bilion (RM159.4 bilion).

EU adalah penerima terbesar eksport BEV China, menyumbang hampir 40 peratus daripada jumlah tersebut, manakala negara-negara Eropah lain (Albania, anggota Persatuan Perdagangan Bebas Eropah, Macedonia Utara, Ukraine dan United Kingdom) memegang 15 peratus daripada penghantaran pada tahun sama.

Bagaimanapun, kenderaan elektrik buatan China tidak memainkan peranan yang besar dalam pasaran AS, sekurang-kurangnya buat masa ini.

China hanya mengeksport BEV bernilai AS$368 juta (RM1.7 bilion) ke AS pada 2023.

Sebaliknya, EU mengeksport hampir AS$7.4 bilion (RM34.5 bilion) ke Washington pada tahun itu, menurut data rasmi perdagangan AS.

 

10 JENAMA KERETA CHINA PALING POPULAR: 

1) BYD Auto

2) Haval

3) Geely

4) Changan Auto

5) Nio

6) Li Auto

7) Chery

8) Great Wall Motor

9) BYD Song

10) BYD Han

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya