PETALING JAYA: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mendakwa permainan ‘politik’ antara punca berlakunya tunggakan gaji dalam skuad Kuala Lumpur City (KL City) FC.
Khalid yang melepaskan jawatan dalam persatuan itu secara serta merta pada Mac lalu berkata, sebelum meninggalkan KLFA beliau telah sedaya upaya untuk memastikan gaji pemain dapat dibayar seperti yang dijanjikan.
Katanya, bayaran gaji tertunggak bagi bulan Oktober, November dan Disember juga sebenarnya telah dilunaskan kepada pemain setelah beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden KLFA pada Mac lalu.
Katanya, permainan ‘politik’ dalam pengurusan bola sepak Kuala Lumpur telah membuatkan beliau terpaksa meletakkan jawatan demi melihat pasukan yang pernah berada di bawah naungannya itu meraih keadilan khususnya melibatkan kewangan.
“Seperti sedia maklum, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat penukaran jadual Liga Malaysia musim ini, maka tiga bulan terawal, tiada perlawanan atau Latihan yang dijalankan.
“Keadaan ini mencabar dan merumitkan keadaan untuk membayar gaji para pemain yang tertunggak pada tiga bulan terakhir tahun lalu dimana kita telah mendapat amaran daripada MFL Ketika itu tentang lessen.
“Pada ketika itu saya juga dapat maklumat bahawa duit tidak akan diberi selagi mana saya menjadi Presiden. Oleh itu, saya letak jawatan pada Mac lalu untuk memastikan gaji pemain masuk dan lesen KL City tidak ditarik balik.
“Selepas itu, duit sebanyak RM 3 juta diberi untuk selesaikan masalah gaji tertunggak 2023. Namun, sekarang satu sen tidak dapat lagi kerana seseorang yang diingini untuk menjadi Presiden masih belum naik,” kata Khalid dalam siding akhbar, semalam.
Mengulas dakwaan kapten KL City, Paulo Josue bahawa gajinya tertunggak selama tujuh bulan, Khalid berkata, beliau amat menghormati Josue sebagai pemain, namun apa yang dikatakan mengenai tunggakan tujuh bulan itu adalah secara teknikal.
“Ini kerana beliau (Josue) mengambil kira tempoh awal tahun (Januari, Februari dan Mac) namun kita bermula latihan pada bulan April jadi secara teknikalnya gaji kita akan mula bayar pada bulan April.
“Kontrak Josue telah ditandatangani awal sebelum perubahan liga oleh MFL dilakukan jadi secara teknikal, beliau melihat tunggakan gajinya mencecah tujuh bulan (jika dikira sejak Januari),” katanya.
Sementara itu, Khalid mengakui telah berhubung dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk bertanya mengenai dana kepada KL City hampir setiap hari, namun mendakwa campur tangan pihak lain menyebabkan dana itu tidak diterima.
Dalam masa yang sama, Khalid menganggap bahawa kejayaan KL City yang pernah menjuarai Piala Malaysia tidak dihargai kerana masih berjuang dengan bajet sekitar RM5 Juta sejak dua tahun kebelakangan ini tanpa sokongan dana lain.-UTUSAN