Bidoglio puji tentangan Kedah terhadap JDT

Bidoglio puji tentangan Kedah terhadap JDT

Aksi JDT menentang KDA FC pada separuh akhir pertama Piala FA.-UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio mengakui Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah memberikan tentangan sengit kepada anak-anak buahnya dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Aman, semalam.

Menurutnya, perlawanan itu tidak mudah dengan KDA FC juga menampilkan permainan cukup baik dengan dibantu sorakan oleh hampir 19,000 penyokong yang membanjiri stadium.

Begitu pun katanya, perlawanan sebegitulah yang amat disukainya kerana aksi sedemikian boleh membantu anak-anak buahnya untuk terus memperbaiki mutu permainan masing-masing.

“Bagi saya kami bermain baik. Begitu juga Kedah. Ini merupakan perlawanan sukar kerana mereka sebuah pasukan yang bagus.

“Keadaan itu antaranya mungkin disebabkan mereka bermain di depan penyokong sendiri. Tetapi kami juga bermain bagus dengan sentiasa menggerakkan bola dari satu sisi ke sisi lain, kerap mencari ruang terbuka dan berjaya mengawal serangan dilakukan lawan.

“Perlawanan ini jelas berlangsung penuh dinamik serta berintensiti tinggi dan itulah yang saya suka. Di pihak kami pula, pemain beraksi secara kompak, patuh dengan arahan serta sentiasa sedia melakukan segalanya bagi membolehkan kami memenangi perlawanan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan itu, dua jaringan oleh Oscar Arribas dan Romel Morales membantu Harimau Selatan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sang Kenari yang memperoleh gol sagu hati menerusi pemain tengah mereka, Habib Haroon.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu kembali untuk perlawanan pusingan kedua separuh akhir pada 4 Ogos depan.

Mengulas lanjut Hector berkata, beliau yakin pasukannya akan menampilkan aksi lebih sempurna di depan penyokong mereka dalam perlawanan kedua nanti.

“Di sana kami akan beraksi di depan penyokong sendiri yang ‘fantastik’ dan padangnya juga berbeza. Jadi kami perlu sekali lagi menang dalam perlawanan itu nanti.

“Paling penting, kami perlu tunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan dilalui. JDT merupakan kelab besar dengan setiap pasukan dalam Malaysia mahu menewaskan kami dan itu akan membantu kami menjadi lebih baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya