Bedak talkum punca kanser ovari? - Utusan Malaysia

Bedak talkum punca kanser ovari?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LYON: Agensi kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan talkum sebagai ‘bermungkinan karsinogenik’ untuk manusia. 

Bagaimanapun, pakar mengingatkan pengumuman itu tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘bukti konklusif’.

Agensi Penyelidikan Antarabangsa WHO mengenai Kanser (IARC) menjelaskan keputusan itu berdasarkan ‘bukti terhad’ yang talkum boleh menyebabkan kanser ovari pada manusia.

‘Bukti yang mencukupi’ itu dikaitkan dengan kanser pada tikus dan ‘bukti mekanistik yang kuat’ menunjukkan kewujudan tanda karsinogenik dalam sel manusia.

Talkum ialah mineral semulajadi yang dilombong di banyak bahagian dunia dan sering digunakan untuk membuat bedak bayi.

IARC yang berpangkalan di Lyon memberitahu kebanyakan orang terdedah kepada talkum dalam bentuk bedak bayi atau kosmetik.

Namun, pendedahan paling ketara kepada talkum berlaku apabila ia sedang dilombong, diproses atau digunakan ketika penghasilan produk.

Terdapat banyak kajian konsisten menunjukkan peningkatan kadar kanser ovari pada wanita yang menggunakan talkum pada alat kelamin mereka.

Bagaimanapun, ia tidak dapat menolak hakikat yang talkum dalam beberapa kajian berkenaan sudah tercemar dengan asbestos yang menyebabkan kanser.

Hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam The Lancet Oncology menjelaskan punca atau penyebab bagi talkum tidak dapat dibuktikan sepenuhnya.

Bagaimanapun, Ahli Statistik di Open University United Kingdom (UK), Kevin McConway, yang tidak terbabit dalam penyelidikan itu, memberi amaran mengenai penilaian IARC adalah ‘tafsiran yang paling mengelirukan’.

Katanya, agensi itu hanya bertujuan ‘menjawab persoalan sama ada bahan itu berpotensi menyebabkan kanser, di bawah beberapa syarat yang tidak dinyatakan IARC’.

Beliau berkata, disebabkan kajian itu baru di peringkat pemerhatian, maka ia tidak dapat membuktikan sebab, kerana ‘tiada bukti konklusif mengenai penggunaan talkum adalah penyebab peningkatan risiko kanser’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya