KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak gerun kepada barisan pelari berkelas dunia menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, hujung Julai ini.
Pelari berusia 20 tahun itu yang berpengalaman dalam Kejohanan Olahraga Dunia dan Sukan Asia menganggap pelari bertaraf dunia yang lain tiada bezanya dengan tahap prestasinya.
“Saya tidak terbayang hendak lari dengan siapa-siapa. Saya sudah berlari dengan pelari terpantas dunia. Dengan bekalan pengalaman saya ada, saya menganggap mereka juga sama taraf dengan saya.
“Jadi yang penting hanya siapa mempamerkan persembahan terbaik ketika hari kejohanan berlangsung (Olimpik). Ianya bergantung kepada bagaimana perasaan, tahap keyakinan dan tahap prestasi semasa ketika itu.
“Saya tidak meletakkan sasaran dan niat untuk berlari dengan siapa pun. Saya ke Olimpik kali ini untuk bersaing dengan diri saya sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan Ketua Kontinjen, Datuk Hamidin Mohd Amin di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Terdahulu, Hamidin juga turut melawat latihan kem renang negara iaitu Khiew Hoe Yan dan Tan Ruoxin di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, semalam.
Sementara itu, Azeem kini dalam persiapan pecutan terakhir untuk meneruskan sesi latihan yang lebih agresif berbanding sebelum ini.
Menurut pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata barisan kejurulatihan diketuai Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM),, Muhammad Amir Izwan dan Institut Sukan Negara (ISN) sedang melakukan analisis secara terperinci untuk mengenal pasti kelemahannya.
“Saya sudah menganalisis bersama ISN, MSN, Ballard dan Amir tentang pelan latihan mingguan yang lebih spesifik. Minggu depan saya akan mula fokus dari aspek permulaan dan larian garisan penamat,” tambahnya.
Azeem yang meraih tiket ‘wildcard’ akan berlepas ke Paris pada 25 Julai ini bersama Ballard .-UTUSAN