AS umum peruntukan terbesar untuk tentera Filipina

AS umum peruntukan terbesar untuk tentera Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan peruntukan sebanyak AS$500 juta (RM2.3 bilion) untuk meningkatkan keupayaan ketenteraan Manila, ketika negara itu mempertahankan tuntutannya terhadap Beijing yang semakin agresif di Laut China Selatan.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin membuat pengumuman itu selepas bertemu Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr serta rakan sejawatan, Setiausaha Luar, Enrique Manalo dan Setiausaha Pertahanan, Gilberto Teodoro Jr di Manila, semalam.

Austin menyifatkan ia sebagai pelaburan sekali seumur hidup untuk memodenkan angkatan tentera Filipina dan pengawal pantai negara itu.

“Tahap pembiayaan ini tidak pernah dibuat sebelum ini dan menghantar mesej sokongan jelas untuk Filipina daripada pentadbiran Joe Biden-Kamala Harris, Kongres AS dan rakyat Amerika,” katanya dalam taklimat kedua-dua negara.

Beliau berkata, Presiden Joe Biden turut mencadangkan dana berasingan berjumlah AS$128 juta (RM591 juta) tahun ini, yang akan digunakan untuk projek infrastruktur utama di sembilan pangkalan tentera Filipina yang kini diakses oleh AS di bawah Perjanjian Kerjasama Pertahanan Ditingkatkan (EDCA).

Ditandatangani pada 2014, perjanjian itu membenarkan tentera AS membina kemudahan, membawa masuk peralatan dan mengadakan latihan bersama di pangkalan yang dipersetujui di Filipina.

Ia juga membenarkan AS menetapkan giliran tentera ke Filipina untuk tempoh yang lama, tetapi tidak memberikan mereka kehadiran tetap di negara itu.

Reuters melaporkan, Manila sebelum ini menerima sekitar AS$1.14 bilion (5.27 bilion) bantuan ketenteraan AS dari 2015 hingga 2022, termasuk AS$475.3 juta (RM2.19 bilion) pembiayaan tentera asing.

Pembiayaan ketenteraan asing berada di bawah belanjawan tambahan keselamatan negara yang sebelum ini diluluskan oleh Kongres AS.

Pegawai AS berada dalam lawatan Indo-Pasifik selama 10 hari yang bertujuan untuk meyakinkan sekutu dan mengukuhkan sokongan ketika Washington bersaing dengan China untuk mendapatkan pengaruh lebih besar di rantau ini.

Terdahulu, Blinken melawat Tokyo untuk bertemu rakan sejawatnya dari Jepun dan Korea Selatan.

Beliau sebelumnya melawat Vietnam dan Laos, serta dijangka menamatkan siri lawatan Asia di Singapura sebelum kembali ke AS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya