TOKYO: Amerika Syarikat (A) akan memperteguhkan kedudukan pasukan tenteranya di Jepun sebagai sebahagian daripada usaha kedua-dua negara untuk menguatkan kerjasama pertahanan berikutan ancaman China sebagai cabaran strategik terbesar di rantau Asia Pasifik.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan rakan sejawat mereka dari Jepun, Minoru Kihara dan Yoko Kamikawa, mengumumkan rancangan tersebut dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat di Tokyo.
Menurut rancangan itu, angkatan tentera AS di Jepun akan dibentuk semula dan perlu melapor kepada Komander AS Indo-Pasifik untuk memudahkan kerjasama yang lebih mendalam dalam operasi dua hala semasa situasi aman atau cemas.
Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat, Austin memuji langkah kedua-dua negara dengan menyifatkan pakatan mereka sebagai keputusan bersejarah.
“Ini akan menjadi perubahan yang paling signifikan kepada tentera AS di Jepun sejak penubuhannya dan merupakan hubungan ketenteraan terkuat kami dengan Jepun dalam tempoh 70 tahun,” kata Austin.
Pengumuman itu dibuat Ketika China dilihat semakin agresif menyatakan tuntutan di wilayah yang dipertikaikan sementara Korea Utara meneruskan program senjata haramnya.
Langkah tersebut berkemungkinan membangkitkan kemarahan Beijing, ketika AS memperkukuhkan hubungan dengan sekutu-sekutu di Asia.
Buat masa ini, terdapat kira-kira 54,000 anggota tentera AS ditempatkan di Pangkalan Udara Yokota di bawah satu perjanjian keselamatan bersama pada tahun 1960. – AGENSI