Aksi Piala FA menarik, mutu pengadilan mengecewakan

Aksi Piala FA menarik, mutu pengadilan mengecewakan

PEMAIN KDA FC, Sony Norde melakukan asakan kepada pemain JDT Heberty pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman pada bulan lalu.,/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rata-rata peminat bola sepak tempatan berpuas hati menonton dua aksi separuh akhir pertama Piala FA melibatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) berdepan Selangor FC.

Corak permainan pantas dan aksi berbalas serangan memberi keterujaan kepada penyokong-penyokong setiap pasukan yang hadir ke stadium atau menonton di rumah dengan menyifatkan keempat-empat pasukan itu sememangnya layak berada di pentas berkenaan.

KAPTEN Terengganu FC, Safawi Rasid (tengah) bersama rakan pasukan meraikan gol dijaringkannya bersama rakan sepasukan ketika menentang Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak kelmarin.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

Disebalik pujian terhadap corak permainan diperagakan keempat-empat pasukan namun mutu pengadilan turut menjadi pertikaian melibatkan perlawanan Kedah dengan JDT.

Beberapa keputusan pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin menjadi pendebatan meskipun dibantu dengan Video Bantuan Pengadil (VAR) terutama melibatkan bola dilihat terkena tangan Shahrul Saad dalam kotak penalti ketika pemain kebangsaan itu cuba mengekang asakan sayap lincah KDA FC, Fayadh Zulkifli namun tiada penalti diberikan.

Tanpa berselindung, Kapten KDA FC, Sony Norde kecewa dengan beberapa tindakan pengadil dalam perlawanan itu.

Menurut pemain berusia 35 tahun itu, tewas 2-1 merupakan sesuatu yang tidak adil buat Sang Kenari dengan mereka setidak-tidaknya boleh meraih keputusan seri dalam perlawanan itu.

Dakwanya, terdapat kekasaran dilakukan terhadap rakan sepasukannya, Habib Haroon sebelum gol pertama JDT diperolehi pada minit ke-23 dan pasukannya juga layak menerima sepakan penalti apabila bola terkena tangan pemain pertahanan pasukan lawan, Shahrul Saad ketika perlawanan hampir tamat.

“Maaf untuk berkata begini tetapi itu merupakan sesuatu yang memalukan buat pengadil. Selepas lima tahun bermain di Malaysia, saya banyak berdepan situasi begitu tetapi malam ini, sukar dipercayai.

“Ketika gol pertama, berlaku kekasaran terhadap Habib dan kami tidak memperolehi penalti yang sepatutnya diberikan.

“Saya akan terus menyatakan bahawa kami tidak menerima keputusan yang adil, disebabkan pengadil. Kalau diikutkan, kami setidak-tidaknya boleh seri dalam perlawanan ini,” katanya.

Ketika perlawanan hampir berlanjutan ke masa tambahan separuh masa kedua, bola dilihat terkena tangan Shahrul dalam kotak penalti ketika pemain kebangsaan itu cuba mengekang asakan sayap lincah KDA FC, Fayadh Zulkifli.

Pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin bagaimanapun memutuskan untuk tidak menganugerahkan sepakan penalti kepada KDA FC setelah membuat semakan melalui video bantuan pengadil (VAR).

Ditanya pandangannya berhubung perkara yang membezakan kedua-dua pasukan, Sony berkata, secara keseluruhannya dia merasakan peluang untuk kedua-dua pasukan memenangi perlawanan itu sebenarnya 50-50.

“Kami bermain secara normal untuk menyerang dan dalam masa sama, JDT juga mencipta banyak peluang. Kami melakukan apa yang sepatutnya dalam perlawanan ini tetapi yang membawa perbezaan dalam perlawanan ini adalah pengadilnya.

“Itulah yang ‘membunuh’ perlawanan ini dan saya akan terus menyatakan perkara sama berulang kali. Saya sangat tak gembira dengan keputusan pengadil malam ini,” tegasnya.

Dalam pada itu Sony mengakui, pasukannya berdepan halangan berliku untuk mara ke final Piala FA berikutan kekalahan yang dihadapi dalam perlawanan pertama tersebut.

“Memang sukar tetapi tiada apa yang mustahil dalam hidup. Jadi kami perlu bekerja keras serta laksanakan arahan jurulatih kerana peluangnya masih ada.

“Kami akan menilai apa yang perlu dilakukan nanti kerana sangat sukar untuk bermain di gelanggang mereka. Banyak perlu dilakukan kerana dalam perlawanan ini pun kami beraksi dengan baik, mencipta banyak peluang tetapi malangnya tewas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya