Aifa, Aira iringi lima lagi beregu Malaysia ke separuh akhir

Aifa, Aira iringi lima lagi beregu Malaysia ke separuh akhir

AIRA Azman tidak berdepan masalah untuk mencari keserasian dengan kakaknya, Aifa dalam aksi beregu wanita pada Kejohanan Skuasy Beregu Asia 2024 di Arena Emas, Skudai, Johor, hari ini. - IHSAN SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gandingan adik beradik, Aifa Azman-Aira Azman memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka selepas muncul juara Kumpulan A dalam acara beregu wanita pada Kejohanan Skuasy Beregu Asia 2024 di Arena Emas, Skudai, Johor, hari ini.

Diletakkan sebagai pilihan pertama, Aifa-Aira yang julung kali digandingkan tidak berdepan masalah membenam pilihan keempat, Toby Tse-Kirstie Wong dari Hong Kong 11-7, 11-9 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Mengikut jejak langkah Aifa-Aira mara ke separuh akhir ialah satu lagi beregu Malaysia, Noor Ainaa Amani Ampandi-Chan Yi Wen yang menjuarai Kumpulan B setelah pilihan kedua itu menewaskan S. Rathika Suthanthira-R. Pooja Arthi dari India 11-6, 11-2 dan mengetepikan pilihan ketiga, Ho Tze Lok-Fung Ching Hei dari Hong Kong 11-4-11-3.

Pada separuh akhir, esok, Aifa-Aira bakal menghitung pertemuan dengan Tze Lok-Ching Hei, manakala, Ainaa Amani-Yi Wen menentang Toby-Kirstie.

Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, pasangan negara, Ong Sai Hung-Rachel Arnold turut mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mencipta kejutan ke atas pilihan ketiga, Abhay Singh-Joshana Chinappa 11-7, 11-6 untuk muncul juara Kumpulan C.

Pada peringkat empat terbaik, pilihan kelima, Sai Hung-Rachel yang kali pertama digandingkan selepas Ivan Yuen bersara akan berdepan rakan senegara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar-Ainaa Amani yang muncul naib juara Kumpulan D, selepas tewas kepada Mohamad Syafiq Kamal-Aira 10-11, 7-11.

Ini bermakna selaku juara Kumpulan D, Syafiq-Aira yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan menentang naib juara Kumpulan C, Abhay-Joshana pada separuh akhir.

Bagi saingan beregu lelaki, Sai Hung yang berpasangan dengan Syafiq turut layak ke separuh akhir selepas membenam pasangan Jepun, Tomotaka Endo-Naoki Hayashi 11-7, 11-8 dalam aksi Kumpulan B.

Sai Hung-Syafiq yang diletakkan sebagai pilihan kedua bakal berdepan ujian sebenar menentang pilihan ketiga, Henry Leung-Andes Ling dari Hong Kong bagi menentukan juara dan naib juara Kumpulan B, esok.

Satu lagi wakil Malaysia, Hafiz Zhafri-Duncan Lee tumpas dalam aksi sulung Kumpulan A kepada pilihan pertama dari India, Abhay Singh-V. Senthilkumar 3-11, 9-11, sebelum mereka bangkit menebus kehampaan menundukkan gandingan Filipina, Reymark Begornia-David William Pelino 11-9, 11-6.

Jika berhajat mara ke separuh akhir, petang, esok, pilihan kelima itu wajib melakar kemenangan ke atas pilihan keempat, Lau Tsz Kwan-Chung Yat Long dari Hong Kong dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang diadakan pada sebelah pagi.
Jika sasaran itu menjadi kenyataan, pertembungan dua beregu lelaki Malaysia bakal berlaku di separuh akhir seandainya Sai Hung-Syafiq muncul juara Kumpulan B. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya