TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan mengesan 66 pesawat tentera China di sekitar pulau itu dalam tempoh 24 jam lalu.
Ia berlaku sehari selepas Beijing dilaporkan menjalani eksesais di perairan berhampiran.
Pihak kementerian berkata, pesawat China itu dikesan menuju ke barat Pasifik untuk menjalani latihan ketenteraan dengan kapal pengangkut pesawat PLA Shandong.
“Sebanyak 66 pesawat PLA dan tujuh kapal PLAN yang beroperasi di sekitar Taiwan dikesan hingga pukul 6.00 pagi (waktu tempatan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dilaporkan sebanyak 56 daripada pesawat itu melintasi garisan median melintasi Selat Taiwan iaitu laluan air sepanjang 180 kilometer yang memisahkan pulau itu dari China.
Jumlah pesawat itu merupakan angka yang tertinggi untuk tahun ini.
Tahun lalu, Beijing direkodkan menghantar 62 pesawat tentera dan 27 kapal tentera laut di sekitar Taiwan. -AFP