600 jururawat Indonesia pilih bekerja di Arab Saudi, gaji lumayan

600 jururawat Indonesia pilih bekerja di Arab Saudi, gaji lebih lumayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Arab Saudi adalah destinasi pilihan rakyat Indonesia untuk bekerja dan berada di kedudukan ketujuh negara pilihan, berdasarkan data oleh pihak kerajaan.

Dianggarkan 600 jururawat Indonesia, kini berkhidmat di Riyadh, selain bekerja dalam sektor domestik.

Dua individu berbeza namun dari rumpun yang sama berkongsi pengalaman mahal bekerja di perantauan.

PAKAR BEDAH

Lebih sedekad Ade Koswara berkhidmat sebagai pakar jantung di hospital paling terkenal di negara itu.

Ade berusia 42 tahun yang berasal dari Sukabumi, Jawa Barat bertanggungjawab mengendalikan mesin yang menggantikan fungsi jantung atau paru-paru pesakit semasa pembedahan.

Sejak menyertai Hospital Pakar dan Pusat Penyelidikan King Faisal di Riyadh pada 2010, beliau bersyukur kerana dapat mengembangkan kemahirannya dan meraih pengalaman baharu yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

“Banyak peranti dan peralatan baharu yang belum lagi tersedia di Indonesia kerana ia sangat mahal, tetapi mereka mempunyai banyak sokongan luar biasa daripada pihak kerajaan.

“Ini sudah tentu memberikan keselesaan kepada penduduk di Arab Saudi,” katanya kepada Arab News.

Apabila Ade memutuskan untuk berpindah ke luar negara, sudah tentu soal gaji dan faedah yang dinantikan.

Kongsinya, beliau memperoleh lapan kali ganda berbanding gaji asal di Indonesia.

“Terlalu ketara perbezaan dalam aspek kewangan dan ganjaran material.

“Pada 2010, gaji saya adalah 6 juta rupiah (RM1,740) sebulan termasuk faedah dan insentif, tetapi di Arab Saudi saya memperoleh kira-kira 50 juta rupiah sebulan (RM14,500),” kongsinya.

Sejak berpindah ke Riyadh, Ade yang merupakan Ketua Bahagian Persatuan Jururawat Nasional Indonesia di Arab Saudi bekerja rapat bersama doktor dari AS dan Eropah.

Amalan kerjanya mengikut piawaian antarabangsa yang diamalkan di hospital berkenaan.

“Peluang di sini adalah sama untuk semua orang. Bukan hanya untuk orang Saudi semata-mata, bahkan kalau ada berpotensi, bakat anda akan digilap walaupun bukan warga tempatan.

“Banyak ruang dan peluang bagi jururawat Indonesia untuk meneruskan kerjaya di Arab Saudi,” katanya.

KERJA DI OXAGON 

Seorang lagi rakyat Indonesia yang berhijrah di Saudi sejak 2015, Akhir Fahruddin merasakan sendiri perubahan dalam hidupnya.

Akhir yang bekerja di bawah Kementerian Tenaga Kerja dan Pembangunan Sosial selama tiga tahun,kemudian berpatah balik ke negara asal untuk melanjutkan pengajian.

Pada 2021, dia bekerja di Riyadh sebagai jururawat kesihatan pekerjaan, kini dia adalah pakar dalam melindungi dan mempromosikan kesihatan serta kesejahteraan pekerja.

Lelaki berusia 33 tahun itu, kini berkhidmat di sebuah syarikat di Oxagon, sebuah bandar Pelabuhan terapung dalam projek Utama NEOM bernilai berbilion dolar.

Daripada sistem penjagaan kesihatan Saudi, Akhir berkata, banyak nilai murni dipelajari tentang aspek Kerjasama serta rasa hormat dalam kalangan pekerja kesihatan.

“Ia adalah perkara positif yang saya belajar semasa bekerja di Arab Saudi.

“Saya rasa dihargai. Apabila seseorang menghargai kita dalam mempraktikkan peranan dan tugas, saya rasa kemahiran itu adalah sangat bernilai tinggi,” ujarnya.

Akhir malah bersyukur kerana tidak pernah ada isu untuk menunaikan solat berbanding keluhan rakan-rakannya yang tidak dibenarkan berbuat demikian di negara lain.

“Jika saya bandingkan diri saya dengan dua rakan lain yang berada di Jepun dan Jerman, gaya hidup harian mereka terbatas dalam mengamalkan agama sendiri.

“Ini berbeza dengan pengalaman saya di Arab Saudi, saya dibenarkan menunaikan solat dengan selesa,” katanya.

Paling penting, Akhir berkata, kerjaya yang dinikmati sekarang memberinya peluang untuk menyara keluarganya di Sumbawa, Nusa Tenggara Barat.

“Saya mampu bantu keluarga, anak saudara menyambung pengajian serta saudara mara lain melanjurkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Saya boleh menyimpan wang untuk masa depan dan membeli aset seperti rumah. Inilah kebahagiaan yang saya kecapi sejak bekerja di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya