TANGERANG SELATAN: Ternyata usia bukan halangan buat Sunaryo, 64, yang masih setia menjadi penghantar surat khabar demi memastikan tubuhnya sihat.
Warga emas itu mengayuh basikal dari rumahnya di Pondok Aren, Tangerang Selatan ke Pesanggrahan, Jakarta Selatan demi menghantar akhbar ke rumah pelanggannya.
“Memang jual surat khabar tidak berapa untung, tetapi saya mahu mengayuh basikal setiap hari sebab ia bagus untuk kesihatan,” katanya ketika ditemu ramah di rumahnya di Pondok Betung.
Bapa tiga anak ini mengaku jika tidak bekerja badannya akan terasa sakit,lapor Kompas.com.
“Kakak saya sampai umur 95 masih larat mengayuh basikal. Sekarang, umur 65 sampai 75 tahun sudah tidak larat untuk berdiri,” ujarnya.
Lelaki berasal dari Kulon Proho ini mengaku lebih memilih menggunakan basikal berbanding motosikal untuk menghantar akhbar ke rumah pelanggannya.
Alasannya, dia tidak mahir menggunakan motosikal selain takut dengan kesesakan jalan raya.
“Aku jadi takut kalau naik motosikal. Ramai sangat orang di jalan.
“Kalau tiada motosikal atau kereta, ya memang aku boleh bawa perlahan-lahan. Kalau di jalan raya, pengguna lain selalu mengomel sama aku sebab lambat,” kongsinya.
Sepanjang menggunakan motosikal, sudah tiga kali Sunaryo mengalami kecelakaan.
Bagaimanapun, peristiwa itu tidak mematahkan semangat lelaki yang berasal dari Kulon Progo untuk terus berbasikal.
Baginya, menghantar surat khabar adalah pekerjaan mulia kerana dia sebenarnya berperanan menyampaikan ilmu dan maklumat tepat pada masyarakat.
Disoal tentang nasib syarikat akhbar, katanya, dia tidak pernah menyangka beberapa nama syarikat terkenal di media massa akan mula gulung tikar memandangkan edaran makin merosot.
Daripada ratusan pelanggan, kini, pelanggannya hanya boleh dibilang dengan jari.
Disebabkan itu, dia tidak boleh menjual surat khabar secara runcit, kerana permintaan semakin berkurangan.
“Semua pelanggan saya adalah orang yang suka membaca dan memerlukan maklumat yang lengkap,” ujarnya.