NOUAKCHOTT: Sekurang-kurangnya 25 maut sementara 195 yang lain masih hilang selepas sebuah bot dinaiki pendatang karam di perairan Nouakchott, di sini.
Pertubuhan Pendatang Antarabangsa (IOM) hari ini memaklumkan, pengawal pantai Mauritania berjaya menyelamatkan 120 yang lain sejak bot berkenaan karam, Isnin lalu.
“Usaha mengesan mangsa yang hilang masih dijalankan. Ada antara kanak-kanak tidak ditemani orang dewasa.
“Kami amat sedih dengan kejadian ini,” jelas kenyataan IOM itu di laman X.
Kumpulan pendatang sebanyak 300 orang itu berlepas dari Gambia menaiki sebuah bot kayu, kira-kira tujuh hari lalu untuk ke Kepulauan Canary yang dikuasai Sepanyol.
IOM menyatakan, semakin ramai pendatang dari Gambia akan melalui perairan dikenali sebagai Laluan Atlantik Barat dengan tahun ini sahaja menyaksikan lebih 19,700 tiba di Kepulauan Canary.
Jumlah itu lebih ramai berbanding 7,590 pendatang pada tahun lalu.
Lebih 5,000 pendatang dilaporkan maut dalam perjalanan untuk ke wilayah jajahan Sepanyol itu dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja. – AGENSI