200,000 kanak-kanak, remaja Indonesia terlibat judi online

200,000 kanak-kanak, remaja Indonesia terlibat judi online

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA : Hampir 200,000 kanak-kanak dan remaja dilapor terlibat dalam transaksi perjudian dalam talian melibatkan jumlah deposit mencecah 293.4 bilion rupiah (RM83.5 juta), lapor trend mengejutkan yang berlaku di Indonesia.

Pengarah Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK), Ivan Yustiavandana berkata, penglibatan golongan tersebut dalam aktiviti berkenaan berkait rapat dengan permainan dalam talian.

“Terdapat 197,054 kanak-kanak dan remaja yang berumur antara 11 hingga 19 tahun terlibat dalam perjudian dalam talian. Ini amat membimbangkan,” katanya seperti laporan laman web Tempo.co.

Ivan berkata demikian pada satu sidang akhbar di pejabat Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI) di sini.

Dalam sidang akhbar tersebut, PPATK menjelaskan lebih 1,160 kanak-kanak di bawah umur 11 tahun terlibat dalam 22,000 transaksi yang bernilai lebih 3 bilion rupiah (RM853,201).

Tambah beliau, bagi kumpulan umur 11-16 tahun, sebanyak 4,514 kanak-kanak dan remaja terlibat dengan 45,000 transaksi dengan jumlah 7.9 bilion rupiah (RM2.26 juta).

Katanya, angka yang paling membimbangkan melibatkan remaja berusia 17-19 tahun dengan 191,380 daripada mereka melakukan 2.1 juta transaksi bernilai 282 bilion rupiah
(RM80.2 juta).

“Kesemua mereka adalah kanak-kanak dan remaja yang masih bersekolah. Mereka inilah yang akan menjadi pemimpin masa depan Indonesia,” kata Ivan.

Sebagai respons terhadap penemuan mengejutkan itu, PPATK bekerjasama dengan KPAI melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani.

Kerjasama itu bertujuan untuk mencegah, menangani dan memantau langkah-langkah perlindungan kanak-kanak, khususnya dalam dunia digital. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya