DHAKA: Seramai 17 maut selepas ribuan pelajar melancarkan demonstrasi menentang dasar kerajaan yang menetapkan kuota pengambilan perkhidmatan awam di ibu negara, sejak Khamis.
Individu yang maut termasuk pemandu bas yang cedera di bahagian dada akibat terkena peluru dan golongan pelajar.
Pihak polis berkata, ratusan peserta lain turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital.
Di Narayanganj, bandar di tenggara Dhaka, dua peserta protes disahkan maut.
Di Chittagong, timur Bangladesh, dua individu turut terkorban.
Seorang saksi memberitahu wartawan Reuters, anggota polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan peserta protes.
Protes bertukar ganas apabila mereka melemparkan batu dan kayu terhadap anggota polis di Dhaka.
Pihak berkuasa mengambil tindakan untuk memotong talian internet di seluruh negara.
Menteri Teknologi Maklumat, Zunaid Ahmed Palak berkata, talian internet ‘digantung sementara’ susulan tersebarnya ‘pelbagai khabar angin’ dan situasi ‘tidak aman’ yang sengaja dicetuskan dalam media sosial.
Katanya, perkhidmatan internet akan kembali pulih seperti sedia kala selepas keadaan kembali terkawal.
Sebelum demonstrasi berlangsung, pembekal kandungan internet menyekat akses Facebook serta beberapa portal berita termasuk Daily Star dan Dhaka Tribune.