MOSCOW: Sekurang-kurangnya 140 orang cedera selepas sebuah kereta api yang membawa lebih 800 penumpang bertembung dengan sebuah trak di persimpangan kereta api di selatan Russia, semalam.
Syarikat pengendali kereta api, Russian Railways melaporkan, kejadian berlaku berhampiran Stesen Kotelnikovo, di wilayah Volgograd kira-kira 1,200 kilometer ke selatan Moscow.
Ketika itu, kereta api tersebut dalam perjalanan dari Kazan di Tatarstan ke Adler di Laut Hitam.
Agensi berita CNBC memetik syarikat itu sebagai berkata, pemandu kereta api berkenaan cedera parah selepas tercampak kira-kira 15 meter ekoran perlanggaran dengan trak tersebut yang secara tiba-tiba merempuh kayu penghadang di lintasan kereta api.
Nasib pemandu trak itu bagaimapun tidak diketahui.
“Sebanyak 140 orang mengalami luka dan lebam termasuk tiga kanak-kanak. Mereka telah dibawa ke hospital untuk rawatan,” jelas syarikat tersebut.
Rakaman video disiarkan agensi berita TASS memaparkan anggota penyelamat cuba mengeluarkan penumpang yang terperangkap dari sembilan gerabak yang tergelincir.
Saluran Telegram akhbar atas talian, Mash sebelum ini melaporkan dua kematian namun masih belum disahkan pihak berkuasa Russia. – AGENSI