PETALING JAYA: Pemain perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia memperoleh tonik tambahan sebelum Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai ini, selepas dia menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, Australia, hari ini.
Anak jati Kedah yang menghuni ranking No. 8 dunia itu diberi tentangan sengit sebelum beroleh kemenangan ke atas bintang No. 6 dunia, Kodai Naraoka dari Jepun 21-19, 11-21, 21-18 dalam aksi yang berlanjutan lebih sejam.
Kejayaan tersebut membolehkan Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$31,500 (RM168,600) berserta trofi dan pingat emas.
Naraoka merupakan pencabar yang berpotensi menjadi lawan Zii Jia pada temasya terbesar di dunia itu dan kemenangan tersebut sekurang-kurangnya memberikan suntikan moral buat pemain berusia 26 tahun itu dalam rangka persiapannya sebelum terbang ke Paris.
Zii Jia sebelum ini ada menyuarakan hasratnya untuk memenangi pingat emas buat Malaysia pada Sukan Olimpik, tetapi, dia juga perlu berdepan pencabar yang kuat seperti bintang No. 1 dunia, Shi Yu Qi, Viktor Axelsen dan Jonathan Christie.
Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, pasangan pecah ganding, Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien tunduk kepada beregu No. 18 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi dari Indonesia 21-12, 7-21, 13-21 dalam perlawanan akhir.
Muncul sebagai naib juara, Pei Jing-Chiew Sien membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$15,960 (RM75,300) dan pingat perak.- UTUSAN