CALIFORNIA: Seekor anjing berusia lapan tahun dari baka Peking dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Anjing Paling Hodoh Dunia tahun ini.
Anjing yang Bernama Wild Thang itu berentap dengan lapan pesaing lain semasa pameran Sonoma-Marin 2024 di Petaluma, California.
Kebanyakan anjing yang bertanding itu datang dari tempat perlindungan sebelum mencari keluarga angkat mereka.
Wild Thang dari Coos Bay, Oregon bertanding sebanyak lima kali sebelum ini, namun ini adalah kemenangan pertama buatnya.
Penampilan unik anjing ini disebabkan kes penyakit distemper yang dihidapi sejak berusia 10 minggu.
Penyakit itu menghalang pertumbuhan giginya, yang menyebabkan lidahnya terjelir dan gangguan otot pada sebelah kakinya.
Wild Thang dan pemiliknya, Ann Lewis menerima hadiah AS$5,000 (RM23,000).
Tempat kedua dimenangi oleh seekor anjing pug berusia 14 tahun, Rome yang berkerusi roda dan membawa pulang hadiah AS$3,000 (RM14,000).
Anjing penyelamat dari baka campuran berusia 14 tahun, Daisy May pula merangkul tempat ketiga dan membawa pulang hadiah AS$2,000 (RM9,400).
Haiwan itu diselamatkan dari jalanan ketika berusia dua tahun dan kehilangan rambut, gigi dan penglihatan.
Pertandingan itu sudah dianjurkan sejak 50 tahun lalu, bagi meraikan ketidaksempurnaan yang menjadikan semua anjing istimewa dan unik.
Peraduan tahunan itu bukan berniat mempersendakan anjing ‘hodoh’, tetapi sebaliknya berseronok dengan beberapa watak yang hebat dan menunjukkan kepada dunia ia adalah anjing yang benar-benar cantik.-BBC