Warna emas simbolik pingat emas pertama negara - Hamidin

Warna emas simbolik pingat emas pertama negara – Hamidin

PEMAIN perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei (kiri) bakal dibimbing oleh pengarah kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak akan tunduk kepada kritikan peminat sukan tanah air terhadap corak rekaan pakaian rasmi kontinjen negara ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata rekaan tersebut adalah muktamad selepas mengadakan perbincangan bersama penaja, Yonex.

Jelasnya, pada edisi kali ini warna jingga tidak lagi digunakan seperti kebiasaan sebaliknya warna emas diperkenalkan selari dengan misi negara untuk membawa pulang pingat emas pertama di temasya terbesar itu.

“Warna jingga telah digunakan sejak 2004 jadi atlet pun ada minta kepada MOM untuk menukar corak lain. Jadi, MOM sepakat dengan Yonex untuk menukar kepada warna emas. Kita sasarkan pingat emas.

“Atlet sendiri juga meminta untuk tidak terlalu banyak corak belang pada pakaian tersebut. Itu komen yang kami terima daripada olimpian dan atlet.

“Saya fikir 30 hari sebelum Sukan Olimpik kita perlu mendokong kontinjen negara dan bukannya mempertikaikan warna baju. Kalau baju cantik tapi tak dapat emas pun tak guna,” katanya.

Hamidin ditemui pemberita selepas melawat sesi latihan pemain badminton perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei menjelang Sukan Olimpik Paris.

Kelmarin, pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan berupa baju berkolar, baju T dan jaket diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Bagaimanapun majoriti peminat sukan tanah air di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan itu yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini.

Dalam pada itu, Hamidin turut memberitahu MOM akan membuka peluang kepada peminat sukan tanah air untuk mereka corak pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2028.

“Selepas membaca komen netizen saya telah menghubungi Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan beliau setuju selepas ini kami akan membuka peluang kepada peminat untuk mereka corak rekaan baju kontinjen negara.

“Kita pilih dan bagi saguhati. Setahun sebelum temasya kita akan buka,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN