Tukang urut raih gelaran juara dunia

Tukang urut raih gelaran juara dunia

MUHAMAD Ayub Mohd (kanan) bersama Hasmiunirah Maliki menunjukkan pingat emas yang dimenangi di Kejohanan Boling Padang Para Dunia ketika ditemui di KLIA semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pengorbanan atlet boling padang para negara yang juga seorang tukang urut, Muhamad Ayub Mohd membuahkan hasil apabila berjaya memenangi pingat emas acara perseorangan lelaki B2 (separa rabun) di Kejohanan Boling Padang Dunia di Afrika Selatan yang berakhir Jumaat lalu.

Atlet berusia 42 tahun itu, mengakui kejayaan merangkul emas sulung di pentas antarabangsa sangat bermakna buat dirinya terutama selepas terpaksa berkorban meninggalkan isteri yang juga orang kelainan upaya (OKU) untuk menguruskan anak-anak.

Selain itu, dia turut bekerja keras untuk memberikan yang terbaik di kejohanan berkenaan kerana sedar Malaysia sudah lama tidak memenangi emas di Kejohanan Dunia sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 2004.

“Alhamdulillah saya benar-benar terharu kerana ini adalah emas pertama di kejohanan dunia. Lebih 10 tahun saya membabitkan diri dalam sukan ini dan ini kali pertama saya meraih pingat emas di peringkat antarabangsa.

“Saya memang tidak jangka mampu meraih emas kerana cabaran dari negara-negara yang lain yang mempunyai pengalaman dan juga taktikal lebih bagus daripada saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan kepulangan skuad boling padang negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Jelasnya, kejayaan yang dikecapi itu bukan mudah kerana ia memerlukan pengorbanan yang tinggi.

“Saya sudah berkeluarga dan terpaksa meninggalkan isteri dan juga anak-anak. Isteri saya juga OKU dan saya terpaksa lepaskan tanggungjawab kepada dia, jadi agak berat apabila dia terpaksa menguruskan anak-anak.

“Demi sukan dan negara, saya terpaksa pergi juga. Selain itu, saya juga bekerja sendiri sebagai tukang urut, bila menyertai latihan, saya hilang pendapatan di situ.

“Semua itu adalah faktor utama menguatkan semangat saya untuk memburu emas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Malaysia turut membawa pulang emas dalam acara perseorangan wanita B2 menerusi Hasmiunirah Maliki dan meraih gangsa menerusi Mohd Zamrie Hasan dalam acara perseorangan campuran B1.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir menyambut kepulangan skuad boling padang para negara, berkata kejayaan bersejarah dicatat di Afrika Selatan melayakkan mereka untuk menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

“Majlis Sukan Negara akan buat pengumuman selepas melakukan pengiraan mengenai jumlah yang akan diterima atlet boling padang para yang sudah mencipta kejayaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya