NEW YORK: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mensabitkan dirinya sebagai Presiden negara pertama berdepan kesalahan jenayah.
Beliau membuat kenyataan itu walaupun perlu menunggu sehingga 11 Julai depan bagi mengetahui bentuk hukuman yang akan diputuskan oleh pihak juri.
“Jika mereka boleh melakukan perkara ini terhadap saya, mereka boleh buat pada sesiapa sahaja.
“Kita akan membuat rayuan terhadap pertuduhan palsu ini,” katanya semasa berucap dalam tempoh setengah jam sambil disambut sorakan penyokong.
Trump turut menyindir Hakim Juan Merchan sebagai ‘zalim’ dan menyifatkan keputusan yang dibacakan ‘sangat tidak adil’.
“Lelaki ini yang kelihatan seperti malaikat, tapi sebenarnya adalah syaitan,” katanya ketika ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Trump mempunyai masa selama 30 hari dari tarikh hukuman akan dibacakan pada 11 Julai depan untuk mengemukakan rayuan.
Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden yang akan berdepan Trump semasa pilihan raya 5 November depan menjelaskan Trump sudah diberikan peluang untuk mempertahankan dirinya dalam sistem keadilan sama yang diguna pakai terhadap seluruh rakyat AS.
“Ia adalah tindakan melulu, tidak bertanggungjawab bagi sesiapa yang mengatakan keputusan ini satu penipuan hanya kerana mereka tidak menyukai keputusan itu,” katanya di White House.
Jumaat lalu, Trump didapati bersalah terhadap 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan.