SEPANG: Skuad sepak takraw lelaki negara menerima insentif khas keseluruhan berjumlah RM170,000 berikutan kejayaan memenangi dua pingat emas dan satu perak pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, minggu lalu.
Insentif itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang sebelum ini telah menjanjikan ganjaran berkenaan kepada pemain sepak takraw negara.
Katanya, pasukan double dan regu yang memenangi emas menerusi kemenangan ke atas Thailand di pentas final masing-masing akan menerima sebanyak RM60,000 manakala bagi acara berpasukan yang meraih perak diberi ganjaran RM50,000.
“Ini adalah insentif khas daripada MSN (Majlis Sukan Negara) dan bukannya melalui SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan). Ini kerana kejohanan ini bukan kejohanan utama yang diletakkan oleh PSM (Persatuan Sepaktakraw Malaysia) sebagai kejohanan utama.
“Namun, saya menggunakan budi bicara saya sebagai menteri untuk memberikan insentif khas ini kerana kita tahu Piala Dunia sepak takraw ini sangat besar maknanya untuk rakyat Malaysia dan atlet.
“Kita tahu atlet sudah bekerja keras untuk memenangi emas,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan kepulangan atlet boling padang para di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Hannah akan mengadakan perbincangan dengan pihak universiti tempatan bagi merealisasikan impian Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk memiliki stadium sepak takraw sendiri.
Menurutnya, beliau bersama PSM akan bekerjasama dengan mana-mana universiti tempatan yang memiliki tanah luas bagi mempermudahkan pembinaan stadium berkenaan.
“103 jenis sukan kami ada. Kalau boleh memang saya mahu padankan satu sukan itu mempunyai tempat latihan tersendiri namun untuk setiap sukan adanya stadium satu perkara yang amat sukar.
“Cadangan saya akan membuat perbincangan bersama universiti kerana kami memang banyak jalinan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Saya rasa ini kaedah yang efektif kerana KPT ada tanah yang luas untuk sukan dan bila tiada kejohanan mahasiswa boleh menggunakannya,” jelasnya.-UTUSAN