PETALING JAYA: Bintang Harimau Malaya, Faisal Halim mengakui selepas insiden berlaku dia sanggup meninggalkan karier sebagai pemain bola sepak demi keselamatan keluarga.
Jelasnya, keselamatan keluarga menjadi keutamaan dan sanggup pulang ke kampung untuk menjalani kehidupan lebih tenteram serta meninggalkan gaji puluhan ribu yang dinikmatinya sebagai pemain Selangor FC.
“Saya ada cakap kepada isteri, ayah, abang-abang…saya tidak kisah saya sanggup hilang gaji berpuluh ribu saya nak balik ke kampung hidup tenang.
“Saya boleh bekerja walaupun gaji sehari RM50 atau 100 sehari…janji keluarga saya selamat saya tidak perlu hidup dalam ketakutan sebab apa yang berlaku kepada saya ini satu benda yang luar jangkaan.
“Saya memang tidak boleh terima… keluarga saya semua dalam ketakutan tetapi semangat semua orang, ramai doakan saya membuat saya semangat meneruskan karier saya,” katanya.
Faisal memaklumkan bahawa tempoh penyembuhan akan memakan masa tiga hingga enam bulan.-UTUSAN