MOSCOW: Kementerian Pertahanan Russia mengumumkan pertukaran 75 tawanan perang dengan Ukraine.
Kementerian itu menerusi satu kenyataan mengesahkan 75 anggota tentera Rusia ditukar dengan 75 anggota tentera Ukraine, yang dipindahkan ke Kyiv selepas usaha Emiriah Arab Bersatu (UAE) selaku pengantara, lapor Agensi Anadolu.
“Anggota tentera (Rusia) yang dibebaskan akan dihantar ke Moscow dengan pesawat pengangkutan tentera Angkatan Aeroangkasa Russia untuk rawatan dan pemulihan.
“Semua yang dibebaskan diberikan bantuan perubatan dan psikologi yang diperlukan,” kata kementerian itu.
Kementerian itu turut memuji peranan UAE dengan menyatakan pihak berkuasa menyediakan ‘bantuan perantaraan kemanusiaan’.
Dalam satu kenyataan berasingan, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengesahkan pertukaran itu dan berjanji untuk terus berusaha membawa pulang semua rakyatnya yang ditawan di Rusia.
“Hari ini kami mencapai keputusan penting iaitu seramai 75 orang lagi telah kembali ke Ukraine.
“Angkatan Tentera Ukraine dan Pengawal Nasional, pengawal sempadan serta empat orang awam semuanya kini berada di tanah air mereka,” tulisnya dalam kiriman Telegram.