Ribuan doktor Korea Selatan lancar mogok - Utusan Malaysia

Ribuan doktor Korea Selatan lancar mogok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Sektor penjagaan kesihatan di Korea Selatan makin meruncing minggu ini apabila doktor kanan dan pakar perubatan menyertai mogok berpanjangan bagi membantah pertambahan pengambilan pelajar perubatan.

Persatuan Perubatan Korea (KMA) mengetuai protes di Seoul dengan ribuan doktor lain, Selasa lalu.  

Mogok solidariti sehari itu turut disertai oleh pengamal perubatan swasta. 

Protes itu berlaku sehari selepas lebih 500 profesor perubatan di hospital awam di Universiti Nasional Seoul berhenti kerja dan melancarkan mogok.

Beberapa pelajar perubatan juga bertindak menangguhkan pendaftaran mereka dan memboikot kelas kerana rancangan kerajaan itu dikatakan akan menjejaskan kerjaya mereka sebagai doktor apabila tamat pengajian kelak.

Mogok selama berbulan-bulan menyebabkan gangguan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap sistem penjagaan kesihatan negara kerana kedua-dua pihak enggan berganjak. 

Kemarahan orang ramai makin memuncak apabila pihak hospital terpaksa menolak pesakit akibat kekurangan doktor. 

Sejak Februari lalu, lebih 12,000 doktor muda dan pelatih meninggalkan hospital berhubung rancangan reformasi kerajaan yang bertujuan untuk menangani kekurangan doktor di negara ini. 

Korea Selatan merupakan antara negara maju yang mempunyai bilangan doktor paling sedikit. 

Bilangan penduduk yang semakin tua juga dijangka memburukkan lagi keadaan apabila bilangan doktor di negara itu makin berkurangan.  

Pihak berkuasa meramalkan kekurangan doktor dalam dekad akan datang. 

Bagi mengatasi masalah itu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mahu menambah bilangan doktor dengan menaikkan secara mendadak kuota pendaftaran sekolah perubatan tahunan sebanyak 2,000 orang. 

Golongan doktor pula berpandangan langkah itu tidak akan menyelesaikan masalah asas yang dihadapi oleh sistem penjagaan kesihatan dan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan negara akan terjejas. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN