HAMBURG: Pengendali Republik Czech, Ivan Hasek berharap nasib malang tidak mengekori mereka menjelang aksi terakhir Kumpulan F menentang Turkiye, Khamis ini.
Peluang untuk Republik Czech mara ke pusingan kalah mati masih terbuka dengan syarat mereka perlu menewaskan Turkiye selepas mengakhiri aksi kedua Kumpulan F dengan keputusan 1-1 berdepan pendatang baharu di Kejohanan Eropah, Georgia.
Georgia mendahului perlawanan menerusi gol penalti yang disempurnakan Georges Mikautadze sebelum Patrik Schick menyamakan kedudukan untuk Republik Czech mengutip satu mata.
“Apa yang jelas, kami mengalami nasib malang dalam sesuatu situasi tetapi mungkin tuah akan menyebelahi kami pada perlawanan seterusnya.
“Kami menguasai permainan tetapi gagal menjaringkan gol kedua. Dua puluh enam percubaan dan itu menjadi bukti.
“Malah, kami perlu mengakui yang kami lega kerana lawan tidak dapat menyempurnakan peluang pada baki minit terakhir,” kata Hasek.
Sementara itu, Hasel turut bimbang mengenai tahap kesihatan penyerang Bayern Leverkusen, Schick yang kelihatan terhincut-hincut sebaik sahaja menjaringkan gol.
“Dia (Schick) tahu bagaimana untuk melakukan jaringan tetapi kami juga mempunyai pemain yang boleh melakukan tugas sama. Kami mempunyai ramai pemain dan mereka berhak untuk diberikan peluang,” ujarnya.-AGENSI