Rakyat Palestin di Lubnan sedia berperang - Utusan Malaysia

Rakyat Palestin di Lubnan sedia berperang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kemarahan rakyat Palestin di Lubnan yang menyaksikan serangan Israel terhadap Gaza, kini lebih membara sekiranya mereka berdepan nasib sama di negara itu. 

Sejak serangan rejim Zionis di Gaza pada 7 Oktober, tahun lalu, rejim itu juga saling berbalas serangan dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan, sekaligus menimbulkan persoalan adakah akan tercetus perang berskala besar atau sebaliknya. 

Kumpulan pejuang di Lubnan itu berulang kali menegaskan pihaknya hanya akan menghentikan serangan terhadap Israel, sebaik sahaja gencatan senjata di Gaza serta Israel menghentikan siri pengeboman terhadap penduduk Palestin. 

Di kem pelarian Palestin di Shatila, Beirut, ramai yang terlibat dalam gerakan penentangan memberitahu Al Jazeera, mereka tidak takut dan akan berjuang untuk menyokong Hezbollah dan ‘paksi penentangan’ yang lebih luas di rantau ini terhadap Israel.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan sekiranya nasib ahli keluarga dan orang awam terancam dan Israel sengaja menyasarkan kawasan perumahan berpenduduk padat di Lubnan, seperti kem Palestin yang menempatkan berpuluh-puluh ribu orang yang tinggal berhimpit-himpit.

Anggota Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin-General Command (PFLP-GC) di Shatila, Ahed Mahar berkata, tentera Israel tidak mempunyai etika, tidak pernah mematuhi hak asasi manusia apatah lagi melindungi nyawa kanak-kanak.  

PELARIAN TANPA KERAKYATAN 

Kira-kira 250,000 rakyat Palestin tinggal di 12 kem pelarian di seluruh Lubnan, yang melarikan diri selepas rejim Zionis mengusir mereka dari tanah air sendiri sejak peristiwa Nakba 1948. 

Sejak itu, rakyat Palestin sangat rindu untuk kembali ke tanah air mereka seperti dikongsikan oleh Hassan Abu Ali, seorang lelaki berusia 29 tahun yang dibesarkan di Shatila. 

Jika perang besar meletus di negara itu, katanya, dia dan ibunya akan mengambil beberapa barang dan menuju ke sempadan antara Lubnan dan Israel.

“Saya rasa ramai rakyat Palestin akan cuba pulang ke Palestin serentak jika berlaku peperangan.

“Rakyat Palestin ‘tiada pilihan lain’ selain kembali ke tanah air sendiri, jika kem di Lubnan dimusnahkan. 

“Hidup sebagai pelarian tanpa kerakyatan sangat sukar kerana kami menghadapi diskriminasi undang-undang dan hidup dalam kemiskinan di Lubnan.

“Satu-satunya tempat yang saya boleh pergi ialah Palestin atau Eropah. Namun, untuk pergi ke Eropah, saya memerlukan AS$10,000 ke AS$12,000 (RM47,000 – RM56,000) untuk seorang penyeludup keluar dari sini. Itu mustahil,” katanya kepada Al Jazeera. 

Hassan berkata, dia percaya Israel boleh mengebom kem Palestin dan kemudian mendakwa mereka menyembunyikan kumpulan pejuang di lokasi berkenaan. 

Justifikasi sama yang digunakan ketika mengebom kawasan kejiranan dan kem perpindahan di Gaza, menurut kumpulan hak asasi manusia dan sarjana undang-undang.

Di Shatila, beberapa pemuda Palestin berkata, rakan sebaya mereka akan menyertai perjuangan bersenjata menentang Israel jika ia melancarkan perang yang lebih luas terhadap Hezbollah.

Jelas merkea, Hamas telah menarik ribuan rekrut dalam kalangan penyokongnya serta daripada komuniti Fatah yang diketuai oleh Mahmoud Abbas, yang mengetuai Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat.

RISIKO PERANG 

Di sebalik ancaman Israel, ramai rakyat Palestin yakin dan percaya perang yang lebih besar terhadap Lubnan tidak akan berlaku kerana kekuatan Hizbullah.

Mereka percaya senjata kumpulan itu, yang dilaporkan termasuk peluru berpandu berpandu buatan Iran dan dron canggih, menghalang Israel daripada meningkatkan konflik dengan lebih serius. 

Namun begitu, pejuang Hamas, Abu Ahmad berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu masih boleh mencetuskan perang terhadap Lubnan untuk memenangi hati rakan pakatan sayap kanannya dan mengekalkan kuasa di negara haram itu. 

“Netanyahu adalah penjenayah. Kita tahu jika tercetus perang di Lubnan, maka akan berlaku lebih banyak pembunuhan orang awam termasuk rakyat Palestin. Ia mungkin jadi seperti Gaza,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya