Putin jumpa Jong Un, Barat pula gelisah - Utusan Malaysia

Putin jumpa Jong Un, Barat pula gelisah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Selepas beberapa bulan spekulasi, Presiden Russia, Vladimir Putin akhirnya mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di Pyongyang, semalam. 

Sepanjang minggu lalu, sumber memberi gambaran mengenai lawatan itu dan imej satelit juga menunjukkan persiapan yang jelas sedang dijalankan di Korea Utara. 

Kremlin menyifatkan acara itu sebagai ‘lawatan mesra negara’ dan media Russia melaporkan Putin dan Jong Un akan menandatangani perjanjian perkongsian termasuk mengenai isu keselamatan serta memberikan kenyataan bersama pada pihak media. 

MENGAPA SEKARANG?

Pertama, wujud rasa ingin tahu memandangkan ia hanya kali kedua Putin melawat Korea Utara. Kali pertama adalah pada 2000, ketika bapa Jong Un, Kim Jong-II menjadi pemimpin tertinggi. 

Namun, hubungan yang terjalin antara Moscow dan Pyongyang akan memberikan faedah bersama sekaligus membimbangkan Barat. 

Kremlin memberitahu terdapat skop untuk ‘hubungan yang sangat mendalam’ antara Russia dan Korea Utara, walaupun ia tidak sepatutnya membimbangkan mana-mana pihak. 

Terdapat banyak spekulasi mengenai apakah sebenarnya yang kedua-dua pihak mahukan antara satu sama lain, dan ia mungkin mengenai isu keselamatan bekalan. 

Saintis Politik dan sekutu Putin, Sergei Markov berpandangan Russia berkemungkinan mencari peluru, pekerja binaan, malah sukarelawan untuk dihantar ke barisan hadapan di Ukraine. 

Sebagai balasan, katanya, Pyongyang boleh mendapatkan hasil Russia serta bantuan teknologi untuk tujuan ketenteraan termasuk program peluru berpandu jarak jauh yang akhirnya berada dalam jarak yang dekat dengan AS. 

Laporan terkini Bloomberg, yang memetik Kementerian Pertahanan Korea Selatan mencadangkan Korea Utara perlu menghantar lima juta peluru artileri ke Russia. 

Russia dan Korea Utara adalah dua negara yang paling banyak dikenakan sekatan di dunia. Ini kerana, Korea Utara membangunkan senjata nuklear dan melancarkan beberapa ujian peluru berpandu balistik. 

Awal tahun ini, Moscow memberi tamparan hebat terhadap sekatan yang dikenakan terhadap Pyongyang, dengan memveto resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tindakan itu dilihat sebagai satu langkah diplomatik yang mesra. 

Semasa sidang kemuncak damai di Switzerland hujung minggu lalu, puluhan negara komited untuk menyokong Kyiv. 

Namun, Russia menyifatkan ia sebagai langkah membuang masa kerana pihaknya hanya bersetuju untuk proses rundingan damai jika Ukraine menyerah kalah. 

CHINA SOKONG RUSSIA 

Semasa temubual bersama BBC, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg berkata, China perlu berdepan akibat kerana melunakkan pendirian dengan menyokong operasi khas ketenteraan Russia di Ukraine, jika negara itu tidak mengubah pendiriannya. 

Stoltenberg berkata, Beijing dilihat mahu ‘meraih manfaat daripada kedua-dua pihak’ dengan menyokong usaha perang Russia, serta dalam masa sama cuba mengekalkan hubungan dengan sekutu Eropah. 

“Ini tidak boleh berfungsi dalam jangka masa panjang,” katanya semasa lawatan ke Washington. 

Ketika ditanya apakah yang mungkin dilakukan oleh negara anggota NATO tentang sokongan China terhadap Russia, Stoltenberg berkata, terdapat usaha ‘perbincangan beterusan’ mengenai kemungkinan sekatan. 

Beliau berkata, China ‘berkongsi banyak teknologi seperti mikro-elektronik yang penting bagi Russia untuk membina peluru berpandu, iaitu senjata yang digunakan terhadap Ukraine. 

“Pada satu tahap, kita perlu mempertimbangkan beberapa jenis kos ekonomi jika China tidak mengubah tingkah laku mereka,” katanya. 

Beijing sudah dikenakan beberapa sekatan kerana menzahirkan sokongan terhadap Russia. 

Bulan lalu, AS mengumumkan sekatan yang akan menyasarkan kira-kira 20 firma yang berpusat di China dan Hong Kong. 

China berusaha mempertahankan urusan perniagaan dengan Moscow, dengan menegaskan pihaknya tidak menjual senjata maut dan ‘mengendalikan eksport barang dwi-guna dengan berhati-hati mengikut undang-undang dan peraturan’. -BBC 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya