Premis jual tambah nilai judi online masih beroperasi, penduduk lapor SPRM

Premis jual tambah nilai judi online masih beroperasi, penduduk lapor SPRM

PUTRA Ramadan Jendeita (tengah) bercakap kepada pemberita ketika hadir ke SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berselindung di sebalik premis aksesori telefon, rupa-rupanya menjual tambah nilai judi online.

Itu modus operandi yang didakwa masih beroperasi di beberapa daerah di Kelantan.

Susulan itu, beberapa wakil penduduk tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh.

Wakil penduduk, Putra Ramadan Jendaita berkata, pihaknya sebelum ini sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 23 Jun lalu.

“Kami tidak berpuas hati kerana selepas laporan polis dibuat, didapati premis-premis berkenaan masih lagi menjalankan operasi seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Media pada 23 Jun lalu melaporkan sekumpulan penduduk membuat laporan polis selepas mendakwa terdapat lebih 40 premis aksesori telefon di negeri ini menjual tambah nilai judi online sejak enam tahun lalu.

Wakil penduduk, Noor Hafsham Noor Halim, 36, berkata, dia yang mewakili 50 penduduk di tiga buah daerah berharap agar kegiatan itu dibanteras habis-habisan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, selain di Kota Bharu, premis menjual aksesori telefon di Tanah Merah dan Pasir Mas juga didapati terlibat dengan kegiatan menjual tambah nilai judi dalam talian.

Dalam pada itu, Putra Ramadan berkata, susulan daripada laporan yang dibuat, beberapa wakil penduduk telah dipanggil untuk disoal siasat oleh pihak polis, selain mendakwa proses berkenaan mengambil masa hampir sembilan jam.

Jelasnya, kumpulan wakil penduduk berkenaan bertindak sedemikian bagi membanteras aktiviti judi online yang berlaku dan ia tiada sangkut-paut dengan dakwaan tangan ghaib dan sebagainya.

“Kami sebagai rakyat Malaysia tidak perlukan tangan ghaib untuk tolak judi haram. Ini adalah atas kesedaran kami untuk membanteras aktiviti ini.

“Sekarang ini kalau kita lihat ramai pemuda yang rosak disebabkan aktiviti judi, ada yang hilang kerja, membuat pinjaman along serta lain-lain jenayah akibat daripada bermain judi online,” ujarnya.

Justeru, dia bersama penduduk lain memohon agar SPRM dapat menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan selain operasi premis-premis itu dapat dihentikan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya