Pertempuran sengit Briged al-Quds di Shujayea - Utusan Malaysia

Pertempuran sengit Briged al-Quds di Shujayea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pejuang Palestin terlibat dalam pertempuran sengit di kejiranan Shujayea di utara Gaza, sehari selepas kereta kebal dan tentera Israel memasuki kawasan itu. 

Situasi itu menyebabkan puluhan ribu orang awam yang ketakutan melarikan diri, lapor Al Jazeera.  

Dalam kenyataan pada Jumaat, Briged al-Quds iaitu sayap bersenjata Jihad Islam Palestin berkata, pihaknya meletupkan sebuah bangunan kediaman yang terperangkap di Shujayea, sehingga membunuh empat tentera Israel dan mencederakan lima yang lain.

Alat letupan buatan sendiri yang digunakan ialah peluru berpandu F-16 yang tidak diletupkan dan ditemukan semula selepas ia ditembak dari pesawat pejuang Israel. 

Sayap Hamas yang lain, Briged Qassam berkata, pejuangnya juga terlibat dalam ‘pertempuran ganas’ hingga mengakibatkan ‘kematian dan kecederaan’ dalam serangan roket antikereta kebal dan tembakan senjata kecil. 

Sehari sebelum itu, tentera Israel melancarkan serangan darat dan artileri berat serta menghantar kenderaan berperisai ke utara Gaza, yang dilanda peperangan dalam serangan baharu. 

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephanie Dujarric berkata, orang awam Palestin terpaksa berjalan kaki dan membawa barangan mereka melalui jalan-jalan yang dipenuhi runtuhan ketika musim panas. 

Israel memindahkan seramai 60,000 orang dari bandar Gaza sejak Khamis lalu. 

Tiada pengesahan rasmi mengenai kematian tentera Israel di Shujayea, Jumaat lalu. 

Namun, tentera Israel melaporkan seorang tentera terbunuh dan sembilan yang lain cedera dalam pertempuran di seluruh Gaza. 

Operasi darat yang disokong oleh serangan udara diteruskan di utara Gaza, sehingga membunuh puluhan pejuang Hamas, kata tentera Israel. 

Pertempuran hebat itu, susulan komen Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mencadangkan ‘fasa sengit’ perang semakin reda. 

Tentera Israel mula melakukan serbuan yang disasarkan di Shujayea kerana meyakini pejuang Hamas berada di lokasi berkenaan.

Sejak serangan 7 Oktober, tahun lalu, seramai 668 tentera Israel terbunuh, dengan 3,953 yang lain cedera. 

Tentera Israel berkata, pihaknya berjaya membunuh 15,000 pejuang Palestin semasa konflik yang hampir memasuki tempoh sembilan bulan itu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya