BERLIN: Pemain muda Sepanyol, Lamine Yamal yang ketika ini bersama pasukan La Roja bagi mengharungi Euro 2024 di Jerman tetap menjalankan tugasnya sebagai pelajar.
Hal ini kerana, pemain muda itu tetap menyiapkan kerja sekolah yang diberikan dan berharap akan lulus dalam pembelajarannya.
“Saya harap cikgu benarkan saya lulus,” katanya yang dalam perjalanan untuk menghabiskan pelajaran dalam taliannya dan menghantar semula kerja sekolah kepada gurunya.
Prestasi akademik Yamal dilaporkan berjalan dengan baik, malah, prestasi bola sepaknya juga meningkat naik, dengan beberapa rekod sudah dilakarkan pemain berusia 16 tahun itu.
Dia memiliki kemahiran menggelecek yang bagus, mampu melakukan hantaran silang tepat serta melepaskan rembatan dan tandukan yang sangat baik.
Yamal memperagakan aksi cemerlang ketika membatu Sepanyol menang 3-0 ke atas Croatia dan Itali (1-0).
Bersama Nico Williams dan Pedri yang berusia 21 tahun, kehadiran pemain muda melengkapkan barisan mantap Sepanyol.
Penampilan Yamal di Euro menyaksikan dia menjadi pemain termuda dalam sejarah kejohanan Eropah itu.
Ketika usia 16 tahun, 57 hari pada September lalu, dia membuat penampilan sulung untuk pasukan kebangsaan dan turun ke padang di Jerman awal bulan ini sewaktu berusia 16 tahun dan 338 hari.
Yamal juga menjadi penjaring termuda dalam sejarah bola sepak Sepanyol ketika menentang Georgia September lalu.-AGENSI