PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya sedar mereka perlu menggandakan usaha dalam aksi menentang Taiwan bagi meledak sebanyak mungkin gol untuk mencerahkan peluang Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Kapten Harimau Malaya, Dion Cools berkata, Malaysia tiada jalan lain selain wajib menewaskan Taiwan dan untuk itu, para pemain kena cepat menukar mentaliti selepas diikat 1-1 oleh Kyrgyzstan dalam aksi terakhir Kumpulan D, kelmarin.
“Sudah jelas apa yang patut kita buat nanti (menentang Taiwan), kita perlu menang dan jaringkan banyak gol menentang Taiwan di laman sendiri (Stadium Nasional Bukit Jalil) pada Selasa ini.
“Jadi kita perlu menukar mentaliti kita dengan cepat bagi perlawanan pada Selasa ini depan untuk meraih kemenangan (dengan jumlah jaringan yang besar),” ujar Dion Cools.
Malaysia ketika ini menghuni tangga ketiga dengan mengumpul tujuh mata manakala Kyrgyzstan di tangga kedua dengan 10 mata, manakala Oman kekal di mendahului Kumpulan D dengan 12 mata.
Mengulas mengenai aksi menentang Kyrgyzstan, Cools berpendapat Harimau Malaya beraksi cemerlang pada babak pertama namun gagal meneruskan momentum tersebut pada aksi separuh masa kedua.
Pemain pertahanan yang ditukar posisi untuk bermain di bahagian sayap itu bagaimanapun tetap berpuas hati dengan keputusan seri yang diraih skuad Malaysia, sekali gus meraih satu mata berharga di gelanggang lawan.
“Saya rasa kita beraksi bagus pada babak pertama tetapi untuk babak kedua sedikit kurang. Kita mahu menang perlawanan ini tetapi keputusan seri adalah wajar,” kata Cools yang beraksi di Liga Thailand.
Malaysia akan berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini, manakala Kyrgyzstan akan menentang Oman untuk aksi terakhir kumpulan D.
Berdasarkan perkiraan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya, skuad negara wajib menang lebih daripada tujuh gol tanpa dibolosi selain mengharapkan Kyrgyzstan tewas dengan defisit lebih satu gol.
Ini kerana, Kyrgyzstan memiliki kelebihan jumlah jaringan enam gol berbanding Malaysia mencatatkan defisit dua gol.
Jika skuad negara menang manakala Kyrgyzstan tumbang, maka kedua-dua pasukan akan mengumpul 10 mata dan perbezaan gol bakal jadi penentu untuk mengintai peluang menamatkan kedudukan selaku naib juara Kumpulan D dengan Oman bakal bergelar juara kumpulan.-UTUSAN