JOHANNESBURG: Bekas Presiden, Jacob Zuma muncul sebagai pemenang terbesar dalam Pilihan Raya Umum Afrika Selatan apabila parti baharunya, uMkhonto we Sizwe Party (MK) menewaskan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah negara itu.
Dengan lebih 90 peratus undi dikira pada petang Jumaat, MK dilihat berada di puncak untuk merebut kuasa di KwaZulu Natal dengan kemenangan selesa termasuk di wilayah yang ANC tidak pernah tewas sejak pilihan raya pasca-apartheid pertama pada 1994.
Di peringkat nasional, apabila keputusan undian semakin meningkat, MK menduduki tempat ketiga dengan kira-kira 14.7 peratus undi, di belakang ANC dengan kira-kira 41 peratus undi dan parti pembangkang utama, Perikatan Demokratik (DA) (21 peratus).
Undian yang dikira setakat ini memberi gambaran jelas tentang MK memenangi sebahagian daripada sokongan tradisional ANC di kubu kuatnya.
ANC buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, dilihat perlu meraih sokongan beberapa parti pembangkang untuk menyokongnya dalam kerajaan campuran jika ingin kekal berkuasa di bawah pentadbiran Presiden, Cyril Ramaphosa.
Strategi sama perlu dilakukan untuk kekal berkuasa di wilayah Gauteng.
Penganalisis Politik, Sanusha Naidoo berkata, agak mustahil untk ANC mencapai undian 50 peratus bagi membentuk kerajaan sendiri walaupun masih banyak undian yang masih perlu dikira.
Besar kemungkinan ANC hanya mampu meraih sekitar 45 peratus undian.
“Untuk memastikan ia dapat memegang kuasa, parti itu perlu membentuk gabungan dengan satu atau lebih dengan parti lain,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi ANC, Gwede Mantashe berkata, partinya tidak mungkin membentuk pakatan dengan DA berhaluan tengah, yang kini berada di tempat kedua dengan 22 peratus undi.
Jelasnya, perlu ada ‘penjajaran dasar’ antara parti sebelum membentuk perjanjian gabungan. -BBC