OpenAI, Microsoft disaman kerana langgar hak cipta

OpenAI, Microsoft disaman kerana langgar hak cipta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: OpenAI dan penyokong utamanya, Microsoft disaman oleh organisasi berita di Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan pelanggaran hak cipta.

Pusat Pelaporan Penyiasatan (CIR), yang menerbitkan Mother Jones dan Reveal, berkata, pihaknya memfailkan tuntutan mahkamah menuduh firma teknologi menggunakan kandungannya tanpa kebenaran dalam ‘teguran terhadap kecerdasan buatan dan amalan eksploitasinya’.

Ketua Pegawai Eksekutif CIR, Monika Bauerlein, berkata, OpenAI dan Microsoft mula mengambil dan menyedut cerita pihaknya untuk menjadikan produk mereka lebih berkuasa.

“Namun, mereka tidak pernah meminta kebenaran atau menawarkan pampasan seperti organisasi lain yang melesenkan bahan kami.

“Tingkah laku penunggang bebas ini bukan sahaja tidak adil, ia juga melanggar hak cipta. Sedangkan hasil kerja wartawan, di CIR dan di mana-mana sahaja adalah berharga, dan OpenAI dan Microsoft sudah mengetahuinya,” katanya dalam kenyataan.

Tuntutan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di New York, yang menuntut ganti rugi dan perintah mahkamah untuk memaksa OpenAI dan Microsoft memadamkan bahan yang mengandungi hak cipta daripada set data latihan mereka.

Chatbot ChatGPT OpenAI bergantung pada sejumlah besar maklumat yang disedut dari internet, termasuk laman berita bagi menjawab pertanyaan pengguna.

Tuntutan itu dibuat selepas tuntutan serupa difailkan terhadap syarikat-syarikat itu oleh saluran berita termasuk The New York Times, The Intercept, New York Daily News, Chicago Tribune dan Denver Post.

Pengarang terkenal termasuk Jonathan Franzen, John Grisham dan George RR Martin, juga menyaman OpenAI kerana didakwa menggunakan karya mereka tanpa kebenaran atau pampasan.

OpenAI dan Microsoft belum memberikan sebarang maklum balas berhubung tuntutan saman berkenaan. -REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya