JAKARTA: Masjid Agung Al-Azhar bakal melaksanakan solat Aidiladha sehari lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Indonesia.
Ketua Pengurusan masjid itu, Tatang Komara berkata, pihaknya akan melaksanakan solat sunat Aidiladha pada hari Ahad.
“Ya, memang benar solat sunat Aidiladha akan dilaksanakan esok,” katanya lapor Kompas.com.
Tatang berkata, terdapat perbezaan pelaksanaan solat sunat tersebut kerana merujuk waktu wukuf di Arafah.
“Sebagaimana yang kita tahu, wukuf di Arafah akan bermula hari ini, jadi bermakna esok sudah 10 Zulhijjah,” katanya.
Oleh itu, pihaknya menjemput orang ramai untuk menunaikan ibadah berkenaan pada pukul 8 pagi, esok.
Masjid berkenaan boleh menampung seramai 13,000 pengunjung pada satu-satu masa.
Bagaimanapun, ibadah korban tidak akan dilaksanakan esok. Sebaliknya, ia akan diadakan pada Isnin.