PETALING JAYA: Man Wei Chong-Tee Kai Wun bukan sahaja melakar sejarah dalam karier mereka mara ke perlawanan akhir pada kejohanan berstatus Super 1,000, tetapi, turut menamatkan kemarau 16 tahun penantian beregu lelaki negara menjejakkan kaki ke final Terbuka Indonesia, sebentar tadi.
Beregu yang menghuni ranking No. 20 dunia itu mengetepikan gandingan tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 29-27, 21-13 dalam masa 45 minit pada separuh akhir di Istora Senayan, Jakarta.
Kali terakhir Malaysia menjejakkan kaki ke perlawanan akhir dan merangkul gelaran pada Terbuka Indonesia ialah menerusi Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada 2008.
Sejak itu, masih belum ada beregu lelaki negara yang mampu mengulangi pencapaian tersebut sehinggalah kejayaan Wei Chong-Kai Wun mara ke perlawanan akhir.
Turun sebagai beregu ‘underdog’, Wei Chong-Kai Wun bakal berdepan satu lagi ujian getir apabila mereka di jadual menentang pilihan kedua, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China bagi penentuan juara.
Wei Chong-Kai Wun belum pernah menewaskan beregu No. 2 dunia itu selepas tiga pertemuan terdahulu berakhir dengan kekalahan.
Justeru, pada final, hari ini, Wei Chong-Kai Wun bukan sahaja berpeluang melakar kejutan seperti mana mereka lakukan ke atas juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada pusingan pertama, malah, menjulang gelaran sulung pada Terbuka Indonesia.
Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tumpas di tangan pasangan No. 5 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Xa Yin dari China 16-21, 18-21 pada separuh akhir. – UTUSAN