MAKKAH: Kementerian Pengangkutan bagi Operasi Jalan Raya dan Penyenggaraan Arab Saudi membina laluan pejalan kaki dengan struktur lantai yang lebih ‘lembut’, lapor Saudi Gazette.
Laluan itu menghubungkan Arafah dengan Muzdalifah bagi kemudahan jemaah haji khususnya warga emas.
Timbalan Menteri Pengangkutan Arab Saudi, Tareq Ziyad Al-Shami berkata, laluan sepanjang 1,000 meter dengan kelebaran 15 meter itu dibuat daripada bahan campuran bitumen, asfalt dan getah yang menjadikan permukaan laluan tersebut tidak keras dan selesa untuk berjalan.
Jelasnya, permukaan laluan itu juga dicat dengan warna kelabu terang khas, yang melekat pada asfalt dan mampu mengurangkan haba antara 13 hingga 15 darjah Celcius lebih rendah.
“Orang ramai boleh berjalan kaki dari Arafah ke Muzdalifah menggunakan laluan ini dan tanpa rasa sakit lutut atau kurang tekanan pada lutut.
“Kebiasaannya, orang yang sudah berumur apabila berjalan, mereka akan sakit lutut dan sakit belakang. Jadi, kami mahu menghasilkan sesuatu yang memudahkan mereka berjalan kaki,” katanya.
Menurut Tareq, pihaknya akan menambah baik produk baharu pada laluan pejalan kaki itu dari masa ke masa dan berharap laluan tersebut dapat diperluaskan untuk menghubungkan Muzdalifah dengan Mina pada masa akan datang demi keselesaan jemaah haji.