Krisis kemanusiaan paling tragis - Utusan Malaysia

Krisis kemanusiaan paling tragis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Selepas lapan bulan rakyat Palestin menjadi mangsa kekejaman tentera Israel, sehingga kini belum ada bibit-bibit serangan akan dihentikan. 

Situasi di Gaza bahkan amat menyedihkan dan tindakan segera diperlukan bagi mengurangkan krisis kemanusiaan yang kian meruncing. 

Perkara itu dibangkitkan oleh Koordinator Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Proses Keamanan Asia Barat, Tor Wennesland yang menyaksikan sendiri kesan tragis akibat serangan bertali arus itu. 

Beliau turut melawat Hospital Al-Amal di selatan Gaza dan bertemu dengan pegawai tempatan bagi menangani keperluan segera penduduk. 

KOS KEMANUSIAAN AKIBAT KONFLIK

“Apa yang saya lihat di Gaza adalah peringatan jelas tentang kos kemanusiaan akibat konflik.

“Pemandangan kehancuran dan penderitaan rakyat sangat menyedihkan. Tindakan segera diperlukan bagi mengurangkan krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh Gaza,” katanya lapor The Palestine Chronicle. 

Wennesland menekankan terdapat cadangan serius yang dibentangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. 

Oleh itu, beliau menggesa semua pihak untuk mencapai persetujuan segera bagi gencatan senjata dan mengembalikan tebusan. 

“Tiada alternatif lain dan setiap kelewatan hanya mengorbankan lebih banyak nyawa tidak berdosa,” katanya. 

PERANG KIAN BERLANJUTAN 

Isnin lalu, Ketua Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) di wilayah Palestin yang diduduki, Andrea De Domenico berkata, idea untuk melanjutkan perang selama enam atau tujuh bulan lagi di Gaza adalah sangat mengerikan. 

De Domenico mengimbas kembali kesan pencerobohan Israel di Rafah sejak 6 Mei lalu yang menyaksikan perpindahan hampir sejuta orang yang mencari perlindungan selama berbulan-bulan di Rafah. 

Mereka kemudian terpaksa berpindah lagi secara tiba-tiba. 

“Saya rasa tiada tempat lain di dunia yang mana sistem ini diletakkan pada tahap cabaran dan tekanan seperti ini,” katanya.  

Konflik Israel-Palestin menyebabkan krisis kebuluran yang teruk terutamanya di Gaza, sehingga meragut banyak nyawa penduduk Palestin terutamanya kanak-kanak. 

Sikap ganas Israel memaksa hampir dua juta orang berpindah dari seluruh Gaza dengan majoritinya mencari perlindungan di bandar paling selatan yang padat penduduk di Rafah. 

Peristiwa itu merupakan pengusiran beramai-ramai terbesar di Palestin sejak Nakba pada 1948. 

Israel mendakwa 1,200 tentera dan orang awam terbunuh semasa Operasi Taufan Al-Aqsa, 7 Oktober lalu. 

Kementerian Kesihatan Gaza merekodkan seramai 36,586 rakyat Palestin terbunuh manakala, 83,074 yang lain cedera di wilayah bergolak itu. 

Dilaporkan 11,000 yang lain masih hilang atau berkemungkinan sudah meninggal dunia akibat ditimpa runtuhan konkrit selepas rejim Zionis mengebom kediaman mereka. 

Organisasi antarabangsa merekodkan majoriti mangsa yang terbunuh dan cedera adalah wanita dan kanak-kanak. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya