LEIPZIG: Ketiadan Kylian Mbappe nyata memberi kesan kepada Perancis apabila hanya mampu seri 0-0 dengan Belanda pada aksi kedua Kumpulan D Euro 2024 di Stadium Leipzig, awal pagi tadi.
Perkara itu diakui pertahanan Perancis, Aurelien Tchouameni berkata ketiadaan Mbappe satu kehilangan besar dalam pasukan dan dia berharap rakan sepasukannya tersebut akan sembuh secepat mungkin.
Bintang baharu Real Madrid itu, mengalami kecederaan patah hidung ketika menentang Austria sekali gus terpaksa memanaskan bangku simpanan pada aksi menentang Belanda.
“Sudah tentu Mbappe antara pemain terbaik dunia, jadi tanpa pemain sepertinya di atas padang ia kehilangan besar untuk kami.
“Tetapi pemain-pemain lain juga bermain dengan baik. Kami harap dia akan kembali bersama pasukan secepat mungkin,” katanya selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, Antoine Griezmann yang mengetuai Perancis mempunyai dua peluang keemasan di setiap babak tetapi bintang Atletico Madrid itu gagal menyempurnakannya dalam bentuk jaringan.
Sementara itu, Video Bantuan Pengadil (VAR) menafikan jaringan Xavi Simons pada babak kedua kerana ofsaid.
“Saya ada dua peluang tetapi kaki saya tidak membantu untuk menjaringkan gol. Ia sangat memalukan,” ujar Griezmann.
Keputusan itu menyaksikan Perancis dan Belanda masing-masing mengumpul empat mata di tangga teratas kumpulan dan terpaksa menunggu aksi terakhir kumpulan untuk mara ke pusingan kalah mati.
Manakala Austria mengutip tiga mata dan Poland menjadikan pasukan yang tersingkir awal ekoran belum mengutip sebarang mata.
Aksi seterusnya, Perancis akan berdepan Poland manakala Belanda menentang Austria pada perlawanan terakhir kumpulan tersebut.– AGENSI