Jabalia ibarat padang jarak padang tekukur - Utusan Malaysia

Jabalia ibarat padang jarak padang tekukur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Rakyat Palestin yang berpatah balik ke kem pelarian Jabalia di utara Gaza berasa terkejut dengan tahap kerosakan yang ditinggalkan oleh tentera Israel selepas tiga minggu melancarkan serangan. 

Seorang lelaki yang kini bergelar pelarian merupakan antara lebih 60,000 orang yang melarikan diri dari lokasi kem yang dibom dan dibedil tanpa belas ihsan. 

Beliau menyaksikan sendiri bagaimana ‘insiden mengerikan’ berlaku di kawasan kem yang menjadi lokasi perlindungan sementara buat rakyat Palestin. 

“Sedangkan pasir yang dipijak setiap hari pun menjadi hangus, kami tidak mampu menanggung ujian ini lagi kerana hendak berjalan pun sakit. 

“Jalan-jalan dipenuhi kesan runtuhan bangunan yang dirobohkan. Peritnya untuk kami gambarkan kehancuran ini,” katanya kepada BBC. 

Lelaki itu yang enggan namanya disiarkan berkata, dia pernah melihat mangsa yang cedera dan maut ‘berbaring di atas tanah’ tanpa sebarang alat bantuan. 

“Tiada eletkrik, air, klinik atau ubat-ubatan. Telaga musnah, kedai dan pasar raya dirobohkan serta bekalan makanan berkurangan,” katanya. 

KEM PELARIAN TERBESAR

Bandar Jabalia dan kem pelarian yang berusia sejak berdekad-dekad lalu, merupakan lokasi kem terbesar di Gaza yang menempatkan lebih 110,000 penduduk berdaftar. 

Sejak serangan rejim Zionis di Gaza 7 Oktober lalu, bandar itu menyaksikan peristiwa pengeboman dan pertempuran yang dahsyat. 

Ketua Jawatankuasa Kecemasan untuk Perbandaran di Utara Gaza, Naji Sarhan mengisytiharkan bandar Jabalia, kem Jabalia, Beit Lahia dan Beit Hanoun sebagai ‘zon bencana’ Ahad lalu. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 50,000 unit rumah musnah akibat serangan tentera Israel.  

MAYAT BERSEPAH 

Seorang pelarian lain, Diab Abu Salama memberitahu Gaza Lifeline BBC, dia dan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun melihat ‘mayat-mayat yang mati syahid bertebaran di merata-rata tempat’. 

“Jabalia Timur mengalami kemusnahan yang belum pernah berlaku sebelum ini. Semua kedai dan rumah di sekeliling Jabalia musnah. 

“Sebenarnya matlamat Israel memindahkan penduduk dan memusnahkan rumah serta kedai mereka hanyalah satu bentuk paksaan untuk meninggalkan negara ini. Namun, kami akan tetap teguh dan tidak akan berganjak dari tanah ini,” tegasnya. 

Musaed Zaqzouq pula menggambarkan bagaimana dia hanya menemukan sisa runtuhan rumahnya yang baru dibina tiga minggu lalu. 

“Ia sangat mengerikan. Rumah keluarga musnah termasuk kawasan kejiranan saya. 

“Paip air musnah dan saluran kumbahan rosak. Tiada lagi satu tempat yang sesuai untuk didiami,” katanya. 

Seorang wanita yang enggan namanya didedahkan berkata, tahap kemusnahan yang berlaku sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan untuk membantu rakyat Palestin di Jabalia dan lokasi lain di Gaza. 

“Apakah justifikasi yang membenarkan semua kemusnahan berskala besar ini? Tolong datang segera kepada kami untuk melihat betapa terseksanya kami,” katanya. -BBC   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya