GAZA: Pihak berkuasa Gaza menuntut Israel membebaskan seramai 310 petugas kesihatan yang ‘diseksa’ oleh rejim Zionis itu dan sehingga sekarang status mereka sama ada hidup atau mati belum diketahui.
Pihaknya juga menggesa siasatan antarabangsa ntuk mendedahkan nasib ‘puluhan petugas kesihatan Palestin yang dikatakan ‘diculik’ oleh tentera Israel dari kemudahan kesihatan Gaza.
Gesaan itu disuarakan Ketika Ketua Bahagian Wanita, Hospital Kamal Adwan di bandar Beit Lahiya, utara Gaza, Dr. Iyad al-Rantisi, 53, meninggal dunia semasa disoal siasat di penjara Israel, November lalu.
Sementara itu, Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Farhan Haq berkata, terdapat ‘kemerosotan drastik’ aliran bantuan ke selatan Gaza dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sehingga menyebabkan panik dan kelaparan.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk berkata, tentera Israel dikesan berulang kali melanggar prinsip asas undang-undang perang dan gagal membezakan antara orang awam dan pejuang Palestin dalam serangan di Gaza.
Dalam laporan yang menilai enam serangan Israel yang menyebabkan jumlah korban dan kemusnahan infrastruktur awam yang tinggi, pejabat itu berkata, tentera Israel ‘secara sistematik melanggar prinsip perbezaan, perkadaran, dan langkah berjaga-jaga dalam serangan’.
“Keperluan untuk memilih cara dan kaedah peperangan yang mampu mengelak atau sekurang-kurangnya meminimumkan semua tahap bahaya orang awam jelas dilanggar secara konsisten sewaktu kempen serangan Israel,” katanya.
Sehingga saat ini, seramai 37, 372 rakyat Palestin terbunuh dan 85,452 yang lain cedera sejak Israel menyerang Gaza, 7 Oktober lalu.